Sunday, September 13, 2009

BAIKNYA MALAYSIA

1. Apabila timbul protes dari sekumpulan rakyat Indonesia tentang penyiaran Tarian Pendet dalam Klip Promoso Pelancongan Malaysia yang disiar oleh Discovery Channel, kita tetap menganggap ia sebagai satu perkara remeh. Tiba-tiba dari satu perkara ‘remeh’ tersebut yang kononnya kita tidak terlibat di sebalik penyiaran tersebut, meletus beberapa insiden yang mencabar kedudukan dan kedaulatan kita sebagai sebuah negara merdeka.

2. Kita dikejutkan dengan peristiwa membakar Jalur Gemilang ketika kita baru menyambut ulangtahun hari Kemerdekaan kita yang ke 52. Kemudian dikuti pula dengan beberapa siri menggertak Malaysia seperti ancaman ‘ganyang Malaysia’ dan yang terbaru diistilahkan sebagai ‘sweeping Malaysia’ dengan persediaan buluh runcing dan sebagainya. Istilah-istilah ini seolah-olah mahu mencabar kita rakyat Malaysia. Bayangkanlah apa yang akan terjadi sekiranya kita ikut menjadi ‘bodoh’ seperti mereka.

3. teringat isu Ambalat beberapa bulan yang lalu di mana kebanyakan para penunjuk perasaan yang memprotes isu tersebut bersungguh-sungguh mahu bertindak terhadap Malaysia seolah-olah kesilapan Malaysia itu amat serius dan seolah-olah mereka tidak pernah menceroboh perairan Malaysia.

4. Barangkali kumpulan ini lupa bahawa di negara ini terdapat jutaan rakyat Indonesia yang mencari rezeki secara halal dan secara tidak halal. Bagaimana nasib mereka jika rakyat Malaysia menyambut cabaran segelintir rakyat Indonesia tersebut? Mereka lupa betapa longgar dan murah hatinya Malaysia terhadap rakyat Indonesia hinggakan soal gaji Pembantu Rumah dari sana pun majikan di negara ini tiada hak hendak putuskan jumlahnya melainkan harus menunggu permintaan dari pihak Indonesia.

5. Dan dengarnya permintaan gaji minima tersebut mencecah RM800.00, melebihi gaji pekerja tempatan di kilang-kilang sedangkan semua tahu bahawa Pembantu Rumah dari Indonesia tidak payah menyewa rumah, tidak payah keluarkan wang untuk makan dan minum dann tidak payah berbelanja untuk pengangkutan. Gaji yang diterima adalah gaji ‘bersih’. Sedangkan pekerja tempatan walaupun bergaji lebih kecil terpaksa berbelanja pula untuk itu semua.

6. Begitu baiknya Malaysia terhadap rakyat Indonesia. Kerana mereka ada di Malaysia, saban hari dan setiap minit ada sahaja lagu-lagu dari republik itu disiarkan. Setiap masa ada sahaja drama dari sana ditayangkan walaupun mutunya sangat rendah. Malah ada sebuah stesen radio swasta menyediakan satu program khas untuk lagu-lagu dari seberang itu.

7. Begitu baiknya Malaysia sehingga membenarkan hasil seni Tan Sri P. Ramlee ‘diganyang’ sehingga hilang keindahannya. Lagu Madu Tiga yang biasanya dinyanyikan oleh Biduan Negara itu dinyanyikan pula oleh Ahmad Dhani dari Indonesia dan stesen radio tempatan pun tidak peduli tentang sensitiviti rakyat Malaysia, terus menyiarkan lagu tersebut, meninggalkan lagu yang asalnya tersimpan terus.

8. Begitu baik Malaysia pun hendak diganyang juga hanya kerana beberapa saat menyiarkan tarian dari Bali itu sedangkan ada rakayat Indonesia sendiri tidak kenal pun tarian tersebut.

No comments:

Post a Comment