Tuesday, April 7, 2009

HIKAYAT SATU BATANG DUA BUKIT


Hari ini adalah Hari Penentuan bagi dua Bukit dan satu Batang. Bukit Selambau di Kedah dan Bukit Gantang di Perak serta Batang Air di Sarawak akan mendapat Wakil Rakyat baru menjelang tengah malam ini. Rakyat akan menetukan dengan hati dan tangan mereka.

Bermacam-macam helah dan janji diberikan untuk mengambil hati pengundi. BN dengan segala kemudahan melalui akhbar dan juga TV. Menggunakan premis kerajaan bukan lagi satu yang pelik di pihak BN dengan alasan menyampaikan sesuatu dari kerajaan kepada rakyat atas nama pembangunan. Padahal semuanya kerana berkempen semata-mata.


Pihak pembangkang pula khasnya Pakatan Rakyat juga menggunakan berbagai cara menarik hati mengundi menyokong mereka. Sampailah ke satu tahap membenarkan orang bukan Islam menggunakan ayat Quran semasa berkempen padahal semua menyedari bahawa itu adalah sesuatu yang tidak betul.

Para Mufti menentangnya tetapi Ulama dalam Pakatan Rakyat merestuinya pula. Semuanya untuk politik, kuasa dan wang semata-mata. Kerana duniawi ulama dalam PAS dan PKR membenarkan dan merestui ‘ulama DAP’ Nga Kor Ming membaca ayat-ayat al-Quran dalam kempen mereka.

Pakatan Rakyat juga lega sedikit sebab pengharaman terhadap Penerbitan Harakah dan Suara Keadilan ditarik balik oleh Perdana Menteri Malaysia yang baru, Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun dinafikan tetapi pengumuman Perdana Menteri mengenai pembebasan 13 tahanan ISA dan jug aura-ura mengkaji ISA secara serius adalah satu usaha memancing undi. Hinggakan ucapannDatuk Seri Anwar Ibrahim yang memuji Tun Mahathir dan BN pada tahun 1995 disiarkan semula untuk tujuan memancing undi.

Yang kasihannya nasib 13 orang calon BEBAS, satu di Bukit Gantang dan 12 di Bukit Selambau. Tapi kempen tetap kempen. Hingga ada yang menggunakan bas dan payUng pergi berkempen.

Jadi isu dua bukit satu batang ini akan menjadi topik menarik untuk hari ini dan hari-hari yang terdekat ini. Sama-samalah kita tunggu hingga jam 9.00 malam ini seperti yang disebutkan oleh Pengerusi SPR dalam akhbar hari ini.

Apapun, esok penduduk di dua Bukit dan satu Batang itu akan menerima Wakil Rakyat mereka yang baru.

Tahniah kepada mereka yang berjaya dan yang tidak berjaya nanti usaha lagi. Nak memecah-belahkan orang-orang Melayu bukannya payah. Nak menghuru-harakan negara bukannya susah. DS Anwar telah membuktikannya. Tun Mahathir juga telah membuktikannya.
Taburkan segala fitnah, hamburkan semua tohmah, orang-orang Melayu memang mudah percaya.

No comments: