Sunday, February 1, 2009

MENANGGUK DI AIR KERUH

Dalam memperjuangkan nilai-nilai hak asasi, trend menjulang tinggi seorang penjenayah adalah satu perkara yang membimbangkan. Walaupun alasan sebagai ‘tidak bersalah selagi mahkamah tidak memutuskan ia bersalah’, usaha mengangkat individu yang disyaki penjenayah dikhuatiri akan memberi kesan negatif kepada masyarakat. Akan ada kesinambungannya selepas ini. Ketika itu apa kita nak buat?

Orang sudah lupa kepada individu-individu yang menjadi mangsa kepada kes jenayah tersebut kerana terlalu ghairah menjadi hero mahu membela suspek. Bagimana pembelaan terhadap mangsa-mangsa jenayah tersebut? Siapa yang membela mereka? Lupakah kita bahawa ajal maut dan jodoh pertemuan di tangan Tuhan? Lupakah kita bahawa setiap kematian itu adalah takdir?

Kita harus memahami bahawa kerja untuk membuktikan seseorang suspek itu bersalah bukan semudah menekan butang talian telefon atau semudah menekan keyboard komputer. Ataupun semudah menekan mesin kalkulator untuk mencari jawapan? Tidak sama sekali?

Tanyalah guru-guru disiplin di sekolah-sekolah bagaimana mereka mengatasi masalah salahlaku pelajar. Kalau tidak ada hukuman yang dikenakan, jangan harap dapat menyelesaikannya. Satu bentuk penderaan harus dikenakan untuk mendapat maklumat.

Anak kita yang mencuri sekalipun, kalau setakat menepuk belakang dan bertanya, sudah pasti kita tidak akan mendapat jawapannya. Jadi faham sendirilah bagaimana cara untuk membuka mulut seorang suspek satu kes jenayah. Tak dapat tidak satu bentuk ‘tekanan’ atau ‘deraan’ terpaksa dikenakan untuk suspek bersuara.

Tidak hairanlah kalau dalam masa siasatan, polis menggunakan sedikit penderaan sebagaimana heboh satu ketika dahulu 'seorang wanita Cina' di arah ketuk ketampi dalam keadaan bogel. Di mana 'pembela-pembela' wanita itu apabila akhirnya diketahui sebenarnya ia berketurunan Melayu?

Tetapi untuk dilihat sebagai ‘hero’ dalam kelompok masyarakat, tokoh-tokoh politik ini mengambil kesempatan. Semuanya seperti pepatah Melayu, menangguk di air keruh, menahan bubu di pergentingan. Bukan setakat pembangkang sahaja, malah dua orang Timbalan Menteri pun ‘tumpang semangkuk’. Lebih menyedihkan lagi, Samy Vellu dalam usahanya hendak kembali mengambil hati kaum India, turut sama menghentam pasukan polis.

(Pasukan itulah dulu yang sentiasa mengiring dan mengawal beliau ke sana ke mari.)

Kebetulan pula mendiang A. Kugan berketurunan India, isu perkauman mula menjadi topik kritikan. Dan apa sahaja yang melibatkan ‘India”, kumpulan Hindraf yang diharamkan mula memasang jarumnya semula.

Kita sebenarnya ‘membela’ tidak kena tempat. Kalau semua orang insaf dan bersimpati kepada Kugan, kenapa semasa beliau hidup tidak siapa pun peduli. Kenapa PKR tidak memberi pekerjaan kepada beliau semasa hayat beliau? Kenapa Samy Vellu tidak memanggil Kugan untuk diberi kerja dengan MIC atau Kementerian Pengangkutan pada masa itu? Kenapa semua orang membiarkan Kugan berkelana sehingga terjebak dalam onar kehidupan itu?

Belum pernah lagi dalam sejarah di negara ini mayat seorang suspek penjenayah diarak dalam satu perhimpunan yang begitu ramai. Seolah-olah suspek tersebut terlalu berjasa kepada negara atau kepada kaumnya seperti ‘Robin Hood’ kepada orang Inggeris satu ketika dahulu. Bertuahnya A. Kugan.

Di samping membela Kugan, cuba kita lihat ribuan lagi manusia yang senasib dengan Kugan. Bagaimana mereka mencari rezeki untuk menyara hidup mereka dan keluarga mereka? Berikhtiarlah supaya mereka tidak menerima nasib sebagaimana Kugan.

Begini barulah dikatakan pembela!

No comments: