Tuesday, January 13, 2009

MALAYSIA BAGUS!

Bila menyebut orang kita, tentunya berbangsa Melayu dan beragama Islam. Kalau bukan Islam sudah tentu bukan berbangsa Melayu. Yang pasti apabila berbangsa Melayu, pasti beragama Islam. Macam telah termaktub dalam perlembagaan negara sedangkan kita semua tahu Islam dan Melayu adalah dua perkara yang berbeza. Begitu erat sekali kaitan antara kedua-duanya. Siapapun tidak boleh nafikan perkara tersebut sehingga apabila seorang berbangsa Cina memeluk agama Islam, dia dikatakan ‘masuk Melayu’.

Bagaimanapun orang kita mempunyai satu perangai yang jarang ada pada bangsa-bangsa lain. Di Mekah dan Madinah orang-orang Melayu terlalu bagus sehingga peniaga-peniaga dan pekerja-pekerja di jalan-jalanraya sentiasa menyebut ‘Malaysia bagus!’ Begitu juga dengan para pekerja di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Semuanya mengucapkan perkataan yang sama apabila melihat orang-orang Malaysia.

Orang-orang Melayu sentiasa bersedekah kepada para pekerja di masjid dan juga pekerja yang membersihkan jalan-jalan di kota Mekah. Mereka sentiasa senang hati bila bertemu dengan orang Melayu kerana mereka tahu mereka pasti mendapat sedikit habuan dari kemurahan hati orang-orang Malaysia.

Para peniaga pula mengucapkan perkataan yang sama kerana orang-orang Malaysia sering menghabiskan barang jualan mereka. Orang Melayu akan terus membeli apa sahaja barang yang dijual untuk dibawa pulang ke Malaysia. Setiap kali dalam perjalanan pulang dari masjid selepas Isyak, kelihatan orang-orang Malaysia singgah membeli barang-barang yang dijual di tepi-tepi jalan. Sebab itu ‘Malaysia bagus’.

Pekerja-pekerja di Masjid al-Haram begitu senang dengan orang Malaysia. Asal jumpa dengan orang Malaysia mereka tidak lupa melepaskan senyum dan bertegur sapa secara mereka. Kita pasti senang dengan layanan mereka.

Pada satu ketika selepas melakukan tawaf, saya bersama isteri hendak meminum air zamzam. Pekerja yang ada di kawasan itu bertanya adakah kami dari Malaysia. Apabila saya mengiakan, kami disuruh duduk dan pekerja tersebut meninggalkan kerjanya dan terus mengambil dua gelas mengisi air zamzam untuk kami. Terasa begitu diraikan. Hal ini tidak pernah berlaku kepada orang dari negara lain.

Satu perkara menarik semasa membeli murtabak dari sebuah gerai 'Bangla' di pinggir Masjidil Haram, orang Malaysia mengajak bangsa-bangsa lain membuat barisan untuk memudahkan berurusan dan sejak itu setiap kali kelihatan barisan yang panjang di gerai tersebut. Bangsa-bangsa lain akur dengan kaedah itu dan peniaga gerai murtabak tersebut sangat berterima kasih kepada orang Malaysia yang memulakan 'barisan' itu.

Namun tabiat buruk orang Malaysia tetap ada. Sikap tidak boleh bertolak ansur sesama sendiri dan mementingkan diri sukar dikikis dari menguasai diri. Setiap masa berebut-rebut menaiki lif untuk naik dan turun hotel penginapan. Kadang-kadang semua lupa bahawa yang ada di situ semua sudah lanjut usia yang sepatutnya mempunyai tahap kesabaran yang tinggi.

Orang-orang Malaysia seolah-olah baru kali pertama menggunakan lif. Berebut-rebut. Lelaki dan perempuan bersesak di dalamnya tetapi di waktu yang sama berdoa mendapatkan Haji Mabrur. Bila hendak turun ke tingkat bawah, dari tingkat pertama sudah memasuki lif naik ke atas. Konon untuk ‘makan angin’ dahulu, lepas itu baru turun ke bawah. Kadang-kadang apabila lif sampai ke tingkat atas, ia sudah penuh menyebabkan orang lain yang tinggal di tingkat-tingkat tersebut tidak dapat memasuki lif.

Begitu juga ketika hendak membeli makanan untuk sarapan pagi. Ramai yang sering memotong barisan yang kami sesama sendiri buat untuk memudahkan semua pihak. Ada yang degil tidak mahu menerima hakikat bahawa tidak ada sistem yang lebih baik dari berbaris untuk semua perkara.

Begitulah yang orang-orang negara Arab sebutkan ‘Malaysia Bagus’.

No comments: