Friday, January 16, 2009

BLOG TUA DAN BLOG MUDA

Sejak beberapa hari kebelakangan ini saya banyak meneliti Laman-laman Blog dari segenap lapisan penulis. Bebrapa bloger terkenal menjadi pilihan saya di samping ramai juga dari kalangan penulis-penulis muda yang berusia 20an. Sebahagiannya masih belajar di IPT ataupun baru memasuki alam pekerjaan.

Penulis-penulis blog dari kalangan ‘orang lama’ bukannya semua sudah terkenal sebagai penulis yang bagus. Cuma kerana faktor usia dan pengalaman, penulis-penulis ‘tua’ ini memilih bahan dan tema yang lebih memaksa untuk pembaca berfikir dan menganalisa.
Kebanyakannya berkisar kepada isu-isu semasa dan hal-hal berkaitan dengan politik.

Terdapat juga beberapa penulis yang membicarakan tentang perkara-perkara ilmiah seperti membincangkan soal pohon-pohon di hutan, ikan di sungai, tumbuhan herba, tabiat dan habitat binatang-binatang. Ada penulis yang berbicara mengenai bintang dan cakerawala.

Penulis-penulis muda banyak menulis tentang persoalan ‘sekitar’ mereka. Walaupun ada yang menyentuh mengenai isu-isu semasa, tetapi lebih banyak yang cenderung menulis mengenai hal-hal yang menyentuh usia mereka sendiri. Ramai juga yang menulis perkara ilmiah dan politik tetapi yang berlaku sekitar kehidupan remaja mereka tetap menjadi pilihan.

Blog-blog remaja ini dibuat begitu menarik melalui perancangan teliti serta menyerlahkan kemahiran yang tinggi dalam bidang multimedia, berbanding dengan blog ‘orang tua’ yang kebanyakannya dibuat tergesa-gesa untuk cepat menyampaikan maklumat semasa.

Bloger-bloger muda ini sangat diminati dan mempunyai ramai peminat. Kalau kita telitikan, tulisan mereka entah tentang apa-apa dengan penggunaan bahasa yang sukar difahami. Begitu juga dengan ejaan dan istilah yang sukar dimengertikan. Namun begitu, tulisan-tulisan begini mempunyai ramai peminat berdasarkan komen-komen yang diberikan di hujung artikel mereka.

Mungkin kerana isu-isu ringan dengan bahasa yang agak santai iaitu tidak terlalu serius menuyebabkan ia menjadi pilihan golongan muda. Lagipun golongan ini lebih memilih untuk tidak mahu terjebak ke dalam kancah perdebatan isu-isu berat dan serius.

Bloger-bloger yang lebih dewasa memaparkan isu-isu yang terlalu serius dan berat. Yang menatapnya pun hanya orang-orang tertentu sahaja yang betul-betul mahu melihat bahan-bahan tertentu untuk dibawa sebagai ‘modal sembang’ apabila berjumpa teman-teman. Ataupun hanya dilihat oleh orang yang sememangnya inginkan kupasan dari sudut-sudut berbeza berkaitan dengan satu-satu isu.

Hal-hal beginilah yang membezakan penulis blog muda dan penulis blog tua.

3 comments:

paneh said...

Salam tuan haji,

Saya cenderung untuk sependapat dengan tuan haji. Saya juga sedang dalam peringkat memahami bahasa blog muda. Mula serius mengkaji mereka sejak 3 bulan lalu.

rantong said...

Sekadar mengingatkan. Amalkan doa ini.

Dari Surah Al-Baqarah ayat 286, bermaksud;

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau babani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah Pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir".

melayuangkat said...

Assalamualaikum Tuan Haji,

Orang muda sekarang kadang kadang pakai kode words yang kita tak faham.

Saya tak kisah penulis muda atau tua tetapi penulisan itu yang menarik perhatian saya. SEMUA penulisan dan pengalaman boleh saya cedok pengajaran daripada pengalaman masing masing.

WaAllahuAlam.