Wednesday, November 5, 2008

KECELARUAN INI SALAH SIAPA?

Bila disingkap kembali tentang kecelaruan politik negara ini, kita tercari-cari di mana silapnya dan siapa yang berbuat silap. Daripada tenang menjadi berkocak. Daripada tenteram bertukar menjadi goncang. Salah siapa?

Baik kita lihat semula bila kecelaruan ini bermula. Dahulu selepas Mahathir bersara dari jawatan Perdana Menteri dalam tahun 2003, semuanya masih tenang. Pilihanraya Umum 2004 menyaksikan BN menang besar dan semua orang membuat kesimpulan bahawa kredibiliti Pak Lah menaikkan peratus rakyat menyokong BN dan UMNO kerana orang suka slogan yang beliau perkenalkan iaitu “Jangan Bekerja Untuk Saya tapi Bekerja Bersama Saya”.

Kecelaruan ini bermula apabila Mahathir mengkritik Pak Lah selepas pembatalan projek mega Jambatan Bengkok yang direncanakan Mahathir sebelum bersara sedangkan Pak Lah sudah berjanji tidak akan berbuat demikian.

Bermula dari sinilah kecelaruan politik ini berlarutan sehingga sekarang. Bermula dari sinilah segala-galanya terjadi sehingga BN tersungkur di empat negeri lagi selepas Kelantan. Bermula dari sinilah, setiap hari kritik demi kritik oleh Mahathir, di dalam dan di luar negara sehingga membawa BN dilanda tsunami dan hilang majoriti duapertiga di Parlimen.

Pak Lah sebenarnya tidak lemah dan tidak ada cacat jika dibanding dengan Perdana Menteri sebelum ini, tetapi Mahathir membuatkan Pak Lah dilihat cacat dan lemah. Komen dan kritik Mahathir memburukkan Pak Lah dilihat mempengaruhi khalayak yang ramai untuk membuat kesimpulan bahawa Pak Lah lemah dan ‘teruk’ mentadbir negara.

Kalau orang macam kita yang kritik, siapa hendak peduli? Orang dengar pun tidak. Macam penulis-penulis blog juga, kalau orang biasa yang tulis, siapa pun tidak berminat membaca. Tapi kalau Raja Petra yang tulis, isu kecil macam manapun boleh jadi cerita hebat.

Jadi bila Mahathir yang membuat kritikan, sudah pasti ia menjadi sesuatu yang boleh dipercayai walaupun apa yang berlaku dalam pentadbiran mungkin sama kalau Mahathir masih lagi Perdana Menteri. Orang melihat kritik Mahathir sebagai betul. Cuba lihat penulisan Mahathir dalam Laman Blognya, ratusan komen pengikutnya yang rata-rata memuji pandangan beliau dalam setiap isu.

Mahathir juga dalam masa yang sama berjaya pula mengheret beberapa pemimpin lain turut serta mencemuh Pak Lah. Yang paling lantang dalam kategori ini adalah Muhyiddin Yassin. Timbullah pandangan-pandangan yang lain dari pemimpin-pemimpin seperti ini yang menghentam Pak Lah dan menyokong Mahathir.

Saya rasa jika Mahathir meletak dirinya sebagaimana orang lain yang ‘bersara’, kecelaruan ini pasti tidak berlaku. Maknanya jika Mahathir sudah bersara, buatlah secara orang bersara. Buat apa nak susahkan diri sehingga sanggup ‘keluar’ dari parti yang menjadi kesayangan beliau kerana mempertahankan prinsip yang terhasil dari dendam kesumat.

Kalau betul beliau sayangkan negara dan kerajaan, buat apa beliau memainkan peranan menyingkirkan Pak Lah. Apa salahnya beliau duduk bersama memberi nasihat kepada Pak Lah sebagaimana Lee Kuan Yew berbuat kepada anaknya di Singapura.

Jadi kecelaruan politik masa kini angkara siapa sebenarnya?
Kecelaruan ini salah siapa?

No comments:

Post a Comment