Monday, November 10, 2008

APA RAFIDAH NAK BUAT SELAMA TIGA BULAN?

Exco Wanita yang bermesyuarat hari ini memutuskan bahawa peralihan kuasa pergerakan itu tetap seperti rencananya iaitu pada Jun 2009. Rumusan juga dibuat bahawa tidak ada pertandingan jawatan Ketua dan Timbalan Ketua. Meleset semua spekulasi yang timbul akhir-akhir ini bahawa sama ada wujud pertandingan atau peralihan kuasa dipercepatkan.

Semalam Sharizat bersuara seperti yang dijangkakan. Walaupun dikatakan seperti ‘melawan ketua’, memang wajar sekali beliau menyuarakan hasrat supaya peralihan kuasa Pergerkan Wanita di selaraskan pada Mac ini semasa persidangan Perwakilan. Sejajar dengan peralihan kuasa Presiden, adalah lebih manis jika perkara yang sama berlaku kepada Wanita.

Bukan setakat Presiden, malah semua sayap UMNO mendapat ketua yang baru. Pemuda sudah ada tiga calon dan salah seorang akan tepilih menjadi Ketua Pemuda. Beitu juga dengan Puteri dan Putera nya, Jadi tidakkah sesuatu yang pelik peralihan Ketua Wanita berlaku pada Jun 2009?

Entah apa yang bermain di fikiran Rafidah sehingga tidak mahu melepaskan jawatan tersebut. Penting sangatkah jawatan tersebut membuatkan Rafidah mahu memegangnya untuk tempoh tiga bulan lagi?

Dan apa yang beliau hendak buat dalam masa tiga bulan selepas perhimpunan nanti. Hendak mengukuhkan Pergerakan Wanita? Rasanya Wanita akan lebih kukuh jika beliau umumkan peralihan sekarang kerana sokongan kepada Sharizat semakin mantap.

Apa agenda lagi yang belum selesai yang mahu dilakukan Rafidah? Tidak ada siapa tahu. Tetapi bila dilihat kepada pencalonan untuk Sharizat, jelas ia merupakan mesej yang nyata kepada Rafidah betapa ‘grass-root’ mahukan perubahan kepimpinan.

Bukan perwakilan tidak sukakan Rafidah tetapi peralihan kuasa lebih penting. Mendapat Ketua yang baru lebih menjadi keutamaan sejajar dengan sayap UMNO yang lain. Lagipun hanya membuang masa menunggu tiga bulan dan kemudian Sharizat hanya ‘memangku’ jawatan itu sedangkan inilah peluang untuk berundur secara terhormat.

Teka-teki yang dimainkan Rafidah mendatangkan kesan kepada orang lain. Azalina tidak cukup pencalonan untuk bertanding Timbalan kerana Bahagian-bahagian telah mencalonkan Sharizat. Andainya Rafidah tidak bertanding, sudah tentu Sharizat dicalonkan Ketua dan peluang untuk Azalina terbuka luas.

Dan sekarang semuanya terungkai. Rafidah tetap dengan kemahuannya untuk memegang jawatan Ketua Wanita untuk tiga bulan lagi. Dan untuk jawatan Timbalan Ketua tidak akan ada pertandingan. Nanti selepas tiga bulan, apabila Sharizat memangku jawatan Ketua Wanita, siapa pula pemangku Timbalan Ketua?

Nampaknya Pergerakan Wanita sengaja mencari susah.

No comments:

Post a Comment