Friday, November 7, 2008

APA AKAN TERJADI KEPADA MEREKA?

Tanggal 11 November 2008 merupakan hari bermulanya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2008 bagi pelajar-pelajar Tingkatan Lima dan calon-calon persendirian yang berdaftar. Ini bermakna sessi penentuan masa depan para remaja kita datang lagi untuk menguji keberkatan usaha mereka selama 5 tahun di bangku sekolah.

Tetapi persoalan yang hendak saya kongsi di sini bukanlah mengenai peperiksaan tersebut kerana kali ini saya tidak terlibat langsung dengannya. Apa yang hendak saya perkatakan adalah mengenai para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan tersebut khasnya dan semua pelajar amnya.

Sepanjang pengamatan saya di musim peperiksaan, beberapa kejadian yang saya anggap sangat tidak munasabah berlaku hasil dari sikap para pelajar sendiri. Ada pelajar yang selama beberapa bulan tidak datang ke sekolah, tiba-tiba pada hari peperiksaan mereka muncul.

Yang perempuan datang dengan pakaian seragam lengkap tetapi sudah lusuh. Yang lelaki menunggang motosikal serta berambut panjang. Ketika memasuki dewan peperiksaan, barulah tercari-cari tempat duduk.

Ada juga pelajar yang pulang ketika waktu rehat dan terus tidak datang kerana tertidur. Tidak ada siapa yang ambil kisah sama ada dia datang atau tidak untuk peperiksaan. Ada juga yang datang lewat melebihi masa yang ditetapkan.

Beberapa orng pelajar pula didapati merosakkan kad pengenalan mereka dengan sengaja. Bila ditanya kenapa mereka berbuat demikian, jawapan mereka amat menyedihkan. "Sahaja main-main!" Langsung tidak ada rasa bersalah.

Sepanjang masa peperiksaan, beberapa pelajar tIdak menjawab sebarang soalan, hanya duduk atau tidur sahaja. Bila orang pulang, mereka turut pulang. Datang sekadar menduduki peperiksaan sudah memadai bagi mereka. Memang mereka tidak menjawab kerana tidak pernah datang belajar.

Saya amat bersimpati dengan mereka kerana bukan semua sengaja memilih cara hidup demikian. Ada antara mereka terpaksa melalui keadaan seperti itu. Ibu mereka keluar pagi-pagi pergi berkerja, bapa pula pergi ke laut mencari rezeki. Mereka hidup sendiri-sendiri tanpa haluan.

Saya terfikir tentang masa depan mereka. Apa mereka hendak lakukan untuk menyara hidup mereka? Dan kalau telah berumahtangga nanti bagaimana anak-anak mereka pula?

Apa akan terjadi kepada mereka?

No comments:

Post a Comment