Monday, November 10, 2008

ANTARA EX-GRATIA DAN HARGA BARANG

Salah seorang tentu berbohong. Mahathirkah yang betul, Nazrikah yang betul? Biar siapa pun yang betul, salah seorang telah berbohong. Nazri kata hakim-hakim itu dinasihatkan bersara awal manakala Mahathir pula tegas berkata bahawa mereka dipecat. Mereka berdua sahaja yang tahu siapa berbohong, siapa tidak. Kami orang-orang kampung hanya mampu meneka.

Pecat atau bersara awal bukan urusan lagi. Peduli apa. Yang penting mereka telah dibayar ‘ex-gratia’ jutaan ringgit. Untuk 6 orang hakim sebanyak RM10.5 juta dilunaskan kepada kerajaan Malaysia yang baik hati. Ada yang dapat sampai RM5 juta dan yang paling sedikit RM500 ribu. Itupun sudah banyak bagi kami yang tinggal di kampung-kampung.

Kami orang-orang kampung ni tidak kisah sangat berapa juta kerajaan terpaksa berhabis untuk perkara yang menurut Tun Mahathir sebagai tidak perlu itu kerana ada antara 6 hakim itu menerima 3 jenis pencen. Kami tidak tahu 10.5 juta itu sebanyak mana. Agaknya kalau diisi dalam beg orang pergi Haji mungkin penuh padat. Hendak mengira RM1 juta pun kami tidak pandai. Buat masa ini, dapat RM1000 pun kami rasa sudah tidak terkira banyak.

Yang kami fikirkan sekarang tentang harga barang yang tidak turun-turun walaupun harga minyak sudah empat kali turun. Dulu harga barang dinaikkan dengan begitu cepat, alasannya kerana harga minyak naik. Sekarang harga minyak sudah turun, kenapa harga barang masih macam itu juga? Inilah yang merunsingkan rakyat.

Yang kami runsing tentang cuaca tidak menentu. Kadang-kadang hujan dan kadang-kadang panas. Akhir-akhir ini kami kerap dilanda banjir. Pemimpin kerajaan bukan hendak memikirkan perkara itu tetapi sebaliknya asyik bercakaran merebut jawatan dalam parti. Hari-hari cerita mengenai perebutan ini menjadi topic utama, bukan kesusahan rakyat.

Dalam duduk fikir-fikir tentang harga barang yang masih membebankan, Datuk Noh Omar pula umumkan kenaikan tambang bas dan teksi. Entah apa rasionalnya pun susah kita hendak faham. Harga minyak dah turun, tambang pula naik. Barangkali Noh Omar tidak tahu ataupun lupa bahawa yang selalu menaiki bas dan teksi adalah rakyat miskin yang tidak ada kereta. Itulah sahaja pengangkutan untuk kami dari kampung ke kota.

Orang yang ada kereta sudahlah harga minyak dah turun, dapat ‘rebate’ tunai lagi. Kami orang kampung yang naik bas dan teksi kena bayar lebih pula. Bukankah itu pelik? Daripada memikirkan ex-gratia RM10.5 juta yang kami tidak faham itu, lebih baik memikirkan apa kami nak bagi anak-anak kami makan esok kerana harga ikan kembung pun sudah mencecah RM8.00 sekilo dan cili mencecah RM6.00 sekilo.

Rakyat sekarang sudah boleh berfikir dan menentukan yang mana perlu difikirkan dan nyang mana tidak perlu. Dah diharap pihak kerajaan melalui pegawai-pegawainya atau bapa-bapa Menteri juga memikirkan perkara serupa daripada sibuk hendak berdebat untuk menunjukkan siapa pandai bercakap.

Itulah kerja orang-orang politik. Tak kira siapa mereka pemerintahkah atau pembangkangkah, sama sahaja.

1 comment:

mountdweller said...

Salam sdr.

Lama tidak jenguk ke sini. Apa yang sdr. katakan itu betul. Masa nak naik minyak berahsia dan tak sabar-sabar tidak pandang belakang dan hadapan. Nak kata pendek akal dia orang ni menteri. Tapi kadang-kadang tu, saya tengok anak saya semasa di tingkatan 5 lebih bijak dari mereka.

Sata tidak tahu nak istilahkan apa. Kerajaan bela rakyat atau keronyok rakyat!

Tentang saudara kata kerajaan pun sama, pembangkang pun sama itu saya masih kurang setuju. Sebab apa? Sebab pembangkang tidak pernah lagi perintah Malaysia. Yang perintah negeri itu pun masih ok walau pun mereka hidup berdikari dan di anak tirikan oleh kerajaan pusat.

Dalam keadaan itu pun Kelantan masih mampu membangun dan masih mampu memberikan pijaman perumahan dan kenderaan tanpa faedah kepada kakitangan kerajaan negeri.