Sunday, October 12, 2008

TAHNIAH DATUK SHAH RUKH KHAN

Kerajaan Negeri Melaka memang sangat pemurah dan penyayang. Siapa sahaja yang boleh mempromosikan Melaka di mata dunia akan memerima anugerah. Anugerah tertinggi Darjah Mulia Seri Melaka membawa gelaran Datuk. Melaka tidak kira siapa, apa warna kulitnya, apa kaumnya , negeri mana asalnya dan negara mana datangnya orang itu. Asal mempromosikan Melaka sahaja di khalayak dunia, dapat ‘title’ Datuk.

Rasanya kalau Sufiah Yusuf yang menjadi heboh di seluruh dunia sedikit waktu lalu berasal dari Melaka, sudah pasti dia juga bergelar Datuk sekarang. Begitulah lebih kurang nilai gelaran itu di negeri Melaka.

Tahniah kepada Datuk Shah Rukh Khan. Kerana satu filem ,One Two Ka Four, yang berlokasi di Melaka,(hanya untuk beberapa minit sahaja) sudah mendapat gelaran tertinggi itu. DatukJins Shamsudin berjuang memartabatkan filem Melayu walaupun tidak tersohor ke merata dunia, mengambil masa puluhan tahun unuk mendapat gelaran serupa.

Penggiat filem yang sangat di minati di Malaysia dan Singapura dahulu setelah beliau meninggal dunia barulah menerima anugerah Tan Sri. Siapa yang tak kenal dengan P. Ramlee yang merupakan Pengarah Terbaik Asia beberapa kali dahulu, Sehingga sekarang filemnya masih ditayangkan dan masih menjadi filem tontonan ramai semua generasi.

Bukan tidak ada bintang filem antarabangsa yang pernah mendapat anugerah seperti itu sebelum ini. Datuk Michele Yeoh pernah menikmatinya tetapi beliau adalah rakyat Malaysia. Itupun ramai berpendapat ianya tidak berbaloi kerana beliau bukannya tinggal di Malaysia. Kebanyakan masanya habis di Hong Kong dan Eropah.

Semua orang yang membaca berita penganugerahan di Sambutan Hari Keputeraan Yang Dipertua Negeri Melaka semalam, amat terkejut dengan alasan yang diberikan. Kerana cadangan Tun Daim kepada Tun Khalil Yaakob sahaja, anugerah ini menjadi kenyataan. Apa kaitannya bekas Menteri Kewangan itu dengan neeri Melaka? Orang besar-besar memang mudah membuat keputusan tanpa memikirkan sensitiviti rakyatnya.

Seingat saya filem King And I yang difilemkan di Pulau Pinang lebih tersohor ke seluruh dunia. Kalau faktor promosi lokasi filem diambil kira, Chow Yuen Fatt yang membawa watak Raja Siam itu layak menerima Datuk. Begitu juga Jackie Chan yang membuat filem Police Story di Kuala Lumpur. Jackie Chan turut menggunakan orang Malaysia yang mengunakan dialog Bahasa Melayu dalam beberapa adegan filemnya itu.

Langkawi pernah menjadi lokasi filem Hindi beberapa kali. Tidak ada pula anugerah seperti itu oleh kerajaan Negeri Kedah. Leuhraya Utara Selatan juga pernah menjadi lokasi filem Hindi.

Semua ini menggambarkan mentaliti kita yang begitu pemurah dengan orang luar sedangkan anak negeri tidak dilayan seperti itu sedangkan pendapat ramai menganggap anugerah seperti itu adalah menjadi keutamaan kepada rakyat tempatan. Ibarat kata pepatah Melayu, ‘Kera di hutan disusui, anak di rumah dibiar kelaparan”.

Selayaknya bukan satu faktor itu sahaja diambil kira. Setakat sumbangan mempromosikan Bandaraya Warisan itu tidak memadai. Perhatikan juga sahsiah penerimanya. Kalau kita lihat bintang filem itu di dalam dan di luar filem , rasanya tidak sesuai bergelar ‘Datuk”

Walau apapun itu adalah hak Kerajaan Melaka. Cuma saya kasihan kepada warga Melaka yang tentunya ramai yang berjasa dalam berbagai-bagai bidang. Masih ada ramai orang lain yang lebih layak.

Entahlah!

1 comment:

zuhairy said...

depa ni dah nyanyok agaknya. ada ke gelaran camtu bagi kat orang yang tak ada kaitan langsung dengan negara! ni lepas ni bagi la pulak kat Jackie Chan, westlife, micheal jackson...tak dak akai ka?