Monday, October 20, 2008

PERANGAI ORANG-ORANG PENCEN

Apabila Dato’ Seri Abdullah membidas Tun Mahathir semalam tentang tindak-tanduk Tun yang kelihatan seperti mencampuri urusan pemilihan jawatan dalam UMNO pada Mac 2009 nanti, saya teringat beberapa kisah orang-orang yang telah bersara atau dengan bahasa yang biasa digunakan iaitu dipanggil orang-orang ‘pencen’.

Orang yang sudah bersara adalah orang yang telah lama berkhidmat, Sudah tentulah telah banyak pengalaman yang didapati. Orang-orang ini telah biasa berkerja bertahun-tahun. Sudah tentu minat dan momentum kerja masih lagi sebati dengan jiwa dan aktivitinya.

Kebiasaannya orang-orang yang telah bersara ini sering dilupakan begitu sahaja. Biar apapun pangkatnya sebelum ini, apabila bersara, semuanya tidak berguna lagi. Pangkat dan jawatan sebelum ini tidak membantu diri orang itu berada lagi dalam komuniti kerjanya. Siapa pun tidak ambil peduli. Cuma beberapa orang sahaja penjawat awam yang berjaya menyambung khidmat tetapi dalam bidang yang berlainan. Mereka seharusnya bersyukur kerana tidak menerima nasib seperti pesara-pesara lain.

Tetapi orang yang belum bersara jangan pula lupa bahawa satu hari dia juga akan mengalami nasib yang sama. Dia pun akan bersara juga. Ketika itu barulah dia tahu bagaimana perasaan orang yang bersara. Kita hidup ini umpama 'pelepah daun kelapa'. Pelepah atas jangan ketawa bila pelepah di bawahnya jatuh kerana nanti lama-lama ia pula akan berada di bawah dan akan jatuh ke tanah juga. Jadi masing-masing mesti bersedia untuk berada di bawah.

Setahun yang lalu saya terserempak dengan seorang kawan lama. Beliau telah bersara dari jawatan tinggi di Jabatan Pelajaran Kedah. Ketika membeli makanan di gerai berhampiran Stadium Darulaman, beliau tercari-cari tempat untuk duduk dan makan. Dari jauh saya memanggil beliau untuk duduk di meja saya. Masa itu barulah beliau perasan kehadiran saya.

Kami berbual panjang tentang beberapa perkara dan beliau masih lagi bercerita tentang pejabatnya walaupun telah setahun bersara. Di akhir perbualan, sebelum berpisah, beliau menjabat tangan saya dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana menegur dan mahu berbual dengan beliau.

Selepas itu barulah saya tahu bahawa selepas beliau bersara, tiada siapa yang memperdulikan beliau termasuk kakitangan pejabatnya yang dahulu cukup menghormatinya (atau takut kepadanya?). Tambah pula semasa menjadi ketua dahulu beliau merupakan seorang yang cukup tegas. Tidak ada siapa yang mahu bercakap atau menegurnya selepas beliau bersara.

Lagi satu cerita mengenai orang bersara ini berlaku di tempat saya sendiri. Seorang guru di sebuah sekolah menengah telah bersara wajib setelah bertugas selama 34 tahun. Beliau masih sihat dan cergas. Oleh kerana kebiasaannya beliau bangun pagi dan pergi ke sekolah, bekas guru ini tidak betah duduk di rumah. Beliau akan pergi ke sekolah lamanya setiap hari walaupun hanya untuk berbual sehingga timbul percakapan-percakapan yang kurang enak.

Akhirnya selepas beberapa bulan, beliau dengan sendirinya bosan dengan rutin tersebut dan tidak lagi pergi ke sekolah tersebut. Rupa-rupanya sampai ke satu peringkat pesara-pesara jadi bosan, dan dengan sendirinya dia tidak lagi pergi ‘mengganggu’ orang lain menjalankan tugas.

Seorang bekas Pengetua dari sebuah sekolah menengah yang lain pula dilaporkan sering memberi arahan kepada bekas Penolong Kanannya untuk bertindak itu ini dan begitu begini selepas bersara. Hal ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan guru-guru yang pernah berada di bawahnya dahulu. Dan Penolong Kanan yang memangku tugasnya juga rasa serba-salah untuk tidak mendengar arahan-arahan tersebut sehingga beliau rasa kurang selesa.

Rupanya penyakit ini terkena juga kepada ahli-ahli politik. Tidak hairanlah Dato’ Seri Abdullah marah sangat terhadap Tun Mahathir. Memang akan berlaku gangguan terhadap tugas beliau dan beliau pula mengambil masa yang begitu lama untuk bersuara mengenai perkara ini. Memang Pak Lah amat bersabar. Kalau orang lain rasanya sudah lama mengambil tindakan sedemikian.

Tetapi Dato’ Seri Abdullah harus ingat bahawa kalau dulu Mahathir menjadi pelepah paling bawah, sekarang beliau pula mengambil tempat itu dan kemungkinan akan berulang perkara yang sama. Walaupun beliau dilihat tidak akan mencampuri lagi urusan-urusan parti dan kerajaan, Tun Mahathir dulupun berjanji begitu.

Dan pelepah yang sudah jatuh pula haruslah ingat bahawa memberi nasihat dan mencampuri urusan adalah dua perkara yang tidak sama. Kita boleh memberi nasihat dan panduan tetapi kita tidak boleh memaksa orang menerima nasihat kita. Kita tidak boleh mengganggu urusan kerja orang lain.

Dan yang penting kita, kita sebagai ‘pelepah kelapa yang telah jatuh’ kena ingat bahawa kita masih diperlukan sekurang-kurangnya untuk dibuat ‘kayu api’.

No comments:

Post a Comment