Thursday, October 30, 2008

PENGHINAAN TERHADAP GURU

Saya terpanggil untuk turut sama mengulas tulisan saudara Megat Edli Faizal bin Abdul Halim yang disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Melaysia keluaran 30 Oktober 2008 yang saya rasa adalah satu penghinaan kepada kaum guru. Tidak sepatutnya beliau membuat ulasan sebegitu seolah-olah guru bukan sebahagian dari anggota masyarakat yang harus hormati.

Saudara Megat mungkin sudah lupa bahawa anda berada hari ini, walau apa pun anda, manusia guru itulah yang membuat anda mengenali ABC dan 123. Bukan manusia seperti contoh-contoh yang anda bandingkan dengan guru itu iaitu jururawat, tentera dan pekerja swasta. Mereka juga ada elaun-elaun tertentu yang tidak payah saya sebutkan.

Penyair terkenal Usman Awang pernah menulis sajak tentang guru yang cukup puitis bukan sekadar untuk meraikan Hari Guru tetapi memberi kita kesedaran tentang dari mana asal usul kita sehingga berjaya memiliki dan mengenali ilmu pengetahuan. Kita tidak dilahirkan untuk terus pandai dalam serba serbi.

Perhatikan sebahagian puisi tersebut yang ditulis oleh Usman Awang alam tahun 1979:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam yang menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Kita jangan terlalu angkuh dengan diri kita sehingga kita sanggup menghina orang lain tanpa terlebih dahulu mengetahui perkara yang sebenar. Jangan menulis tentang perkara yang kita tidak tahu. Jangan mengulas tentang perkara yang kita hanya tahu dan maklum dari cakap-dengar sahaja.

Guru DG29 yang anda ulaskan itu sebenarnya menyambung pelajaran peringkat ijazah di universiti, meninggalkan keluarga dan anak-anak dan meninggalkan ‘senioriti’ mereka dalam profesion guru selama sekurang-kurangnya 3 tahun dan selama 3 tahun itu mereka menerima separuh gaji tanpa kenaikan tahunan seperti orang lain.

Apabila guru ini tamat belajar, gaji mereka hanya meningkat sekitar RM20.00 dari jumlah yang mereka tinggalkan 3 tahun yang lalu sedangkan rakan mereka yang tidak menyambung pengajian di universiti telah jauh meninggalkan mereka dengan jumlah antara RM400.00 hingga RM700.00 apabila dinaikkan ke DG32. Padahal mereka sama-sama mula bertugas dahulu.

Guru juga adalah manusia biasa. Tentulah rasa tidak puas hati akan timbul melihat ketidak-adilan yang tercipta kerana mereka melanjutkan pelajaran bagi meningkatkan profesionalisma mereka.

Buat apa hendak bandingkan tugas guru dengan lain-lain perjawatan kerana tentunya tidak sama tugas mereka. Walaupun guru berkerja separuh hari tetapi siapa tahu kerja mereka memeriksa buku latihan murid hingga jauh malam? Siapa peduli mereka bersengkang mata menyediakan soalan-soalan untuk peperiksaan dan juga ujian?

Bangun pagi orang sudah memanggil cikgu. Di sekolah orang memanggil cikgu. Jumpa di pasar orang menegur cikgu. Jumpalah di mana dan bila pun, orang masih menegur dengan perkataan yang sama, CIKGU! Malah selepas bersara pun masyarakat masih menegur sebagai cikgu.

Bila anak-anak gagal dalam peperiksaan, semua menuding jari kepada guru. Jabatan pelajaran sendiri turut menyalahkan guru. Bila anak-anak berjaya cemerlang, semua waris dan pelajar memuji kelas-kelas tuisyen yang berbayar. Usaha murni guru tidak ada siapa yang menyebutnya termasuk pelajar-pelajar itu sendiri. Sebab itu guru disebut umpama lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain.

Saya bukan guru tetapi saya amat mengingati setiap guru yang pernah mendidik saya sejak saya kecil hingga dewasa. Saya sudah mempunyai cucu yang bersekolah, tetapi saya tetap tidak lupa nama guru-guru saya di sekolah rendah dan menengah dahulu.

Jadi lebih baik jangan mengulas perkara-perkara yang kita tidak tahu. Kita akan menjadi lebih hina dari orang yang kita beri penghinaan!

1 comment:

Qaseh.Darwisy said...

Kebanyakan dari keluarga qaseh memilih profesyen keguruan..bermula dari arwah datuk,ibu,pck,mck n sekarang kakak qaseh mengikut jejak langkah..bangga rasanya berada bersama insan yg bergelar cikgu..sgt dihormati oleh masyarakat..

Mereka mmg bekerja separuh hari,tapi apa yang qaseh tgk selepas waktu sekolah banyak jea aktiviti2 yg dilakukan bersama pelajar disekolah..kadang smp hujung minngu qaseh tak dapat bersama mereka disebabkan aktivi2 luar bersama pelajar.