Wednesday, October 29, 2008

MAT GLAMOUR BUAT HAL LAGI

Tentu kita semua masih ingat tentang seorang budak berusia 14 tahun yang terpaksa berhenti sekolah untuk menyara adik-adiknya seramai 8 orang. Pasti kita belum lupa kepada kisah yang kononnya ‘menyayat hati’ dan tidak mendapat simpati dari masyarakat setempat di Titi Bakong, Yan, Kedah yang mula tersiar pada 6 September 2008 yang lalu.

Kini sudah lebih sebulan berlalu dan kehidupan Mat Glamour atau Mohd. Norsharul Amri bin Anuar telah berubah sama sekali. Wang dan sumbangan mencurah-curah datang dari berbagai pihak membuat Mat menjadi seorang ‘hartawan’ sekarang. Ibunya dan adik-adiknya tidak susah lagi. Apa yang dikehendaki semuanya dapat dibeli dengan wang yang puluhan ribu dalam akaun.

Hendak memiliki handset, sudah ada handset, malah yang berjenama pula. Begitu juga ibunya dan adik-adiknya, mempunyai handset seorang satu. Ibunya sudah beberapa kali ‘rebounding’ rambut dan ke sana ke mari dengan jeans dan berbaju T ketat dengan tanpa tudung sebagaimana yang dipakainya se,masa orang datang melawat dahulu. Rantai leher dan gelang tangan yang tidak terkira lagi hebatnya.

Terima kasih kepada para dermawan yang telah mengubah kehidupan Mat sehingga melebihi kawan-kawannya yang dulu senang sedikit darinya.

Tetapi Mat dan adiknya hanya berubah tentang gaya hidup tetapi masih tetap dengan keadaan yang sama dari segi persekolahan. Mat dan Mastuti Norsiti Atika tetap juga tidak ke sekolah seperti yang diharapkan. Dalam seminggu kadang-kadang Mat tidak pergi langsung. Adiknya juga menurut jejaknya.

Setiap hari boleh dilihat Mat dengan basikalnya, merayau-rayau di Titi Bakong dan pekan Yan. Kadang-kadang sangat ia pergi ke sekolah, Banyak menghabisan masa di rumah dan berbasikal ke kampung-kampung bersama kawan-kawan yang juga tidak ke sekolah.

Mingghu ini mungkin Mat akan ke sekolah sebab ada Peperiksaan Akhir Tahun. Tapi apa yang hendak dijawabnya? Macam mana hendak menjawab kalau tidak datang belajar.

Sebenarnya dari dulu Mat tidak ke sekolah bukan kerana tidak ada wang. Bukan kerana miskin. Bukan juga kerana hendak menjadi kelindan lori menyara adik-adiknya. Dia memang tidak mahu bersekolah. Berilah berapa banyak wang sekalipun, sikapnya tetap tidak berubah.

Sia-sialah sumbangan yang diberikan oleh berbagai pihak kepada keluarga Mat supaya Mat dan adik-adiknya tidak ada masalah hendak ke sekolah. Malangnya Mat dan keluarganya tidak berubah sama sekali.

Sebenarnya Mat berkehendakkan pakar motivasi supaya boleh mengubah sikapnya itu. Itulah yang Mat dan keluarganya perlukan, bukannya harta. Selagi sikap Mat tidak berubah, banyak mana wang pun tidak akan berjaya membawanya ke sekolah semula..

Sebelum ini pun pihak sekolah telah memberi macam-macam bantuan kepada Mat. Bantuan wang KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) turut diberikan lama sebelum berita tentangnya heboh dahulu. Selain itu, biasiswa juga turut diberikan kepadanya walaupun adiknya juga telah mendapat biasiswa tersebut.

Bayangkan apa akan jadi kepada Mat setahun lagi? Tahun hadapan dia akan menduduki PMR. Pihak sekolah tidak dapat berbuat apa-apa sebab dia tidak hadir ke sekolah untuk mengikuti program-program peningkatan akademik yang dianjur oleh pihak sekolah.

Sama-samalah berdoa untuk kejayaan Mat.

No comments:

Post a Comment