Monday, October 13, 2008

MALANG TAK BERBAU



Hari ini ada lagi manusia yang tidak tahu bersyukur. Akibatnya dia terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu akibat kecederaan di tangan dan muka akibat percikan api semasa cuba memotong kabel elektrik di Kampung Saujana, Setiu. Memang tak tahu bersyukur. Bekalan elektrik disediakan memberi cukup banyak kemudahan.

Sekarang kawasan tersebut terpaksa bergelap dan TNB kerugian RM30,000 kerana membaiki kerosakan yang ditimbulkan oleh orang yang tak tahu bersyukur ini. Kerugian orang kampung kita tak tahu lagi akibat dari terputusnya bekalan elektrik itu. Industri yang ada berdekatan turut terjejas.

Hanya kerana sedikit sahaja boleh menjejaskan banyak pihak yang lain yang tidak bersalah. Rasanya patut sangat lelaki itu menerima musibah. Tetapi harus diingat bahawa ini bukanlah kes yang pertama. Tidak berapa lama dahulu Negeri Sabah terpaksa bergelap selama beberapa hari akibat menara pencawang TNB tumbang hasil daripada kegiatan mencuri besi.

Dewasa ini kes kecurian kabel TNB dan kabel telefon sudah menjadi perkara biasa. Seperti main-main sahaja. Hari ini dibaiki atau disambung semula, selang sehari dua, berjuntaian pula kabel di potong orang . Kadang-kadang hanya tinggal tiangnya sahaja. Masyarakat pun sudah jemu hendak melapor kepada Telekom Malaysia dan pihak Telekom juga sudah tidak dapat memikirkan cara menghindarinya lagi. Kerugian sudah mencecah jutaan ringgit.

Bulan lepas, di kawasan saya tinggal kabel utama TM dipotong pencuri. Dua hari dua malam para pekerja mereka berkemah di situ untuk membaikpulih ribuan talian yang terputus termauk talian hospital, Balai Polis dan pejabat-pejabat kerajaan.

Sekarang pun kalau dilihat di kawasan saya tinggal, kabel TM berjuntaian di merata tiang kerana telah dipotong orang. Padahal pihak TM baru sahaja menyambung taliannya.

Begitu kronik penyakit masyarakat ini. Semasa berbual dengan pekerja-pekerja TM itu, seorang pegawai mereka (Pegawailah kot sebab dia yang dok beri arahan-arahan) yang kecewa agaknya secara spontan menyatakan kenapa masyarakat heboh sangat bila kabel dicuri, orang lain hilang emas berjuta pun tak bising.

Bagi saya orang mencuri emas hanya menyusahkan seorang sahaja, tapi orang yang mencuri kabel ini menyusahkan ribuan orang. Saya malas hendak berhujah dengan beliau kerana saya berpendapat bahawa kalau beliau cerdik tentu sudah bergelar usahawan telekomunikasi.

Orang mencuri kabel ini sebab ada orang pula yang hendak membeli. Kalau tidak ada orang beli, apa pencuri itu nak buat dengan dawai-dawai kabel itu? Jadi pucanya adalah pembeli-pembeli yang diberi lesen oleh pihak kerajaan juga. Kelulusan lesen membeli besi terpakai atau barang lusuh ini dibuat tanpa had kononnya untuk menjaga kepentingan mereka. Hasilnya Bengkel Barang Lusuh tumbuh macam cendawan lepas hujan.

Bengkel-bengkel inilah yang menjadi tempat tumpuan pencuri-pencuri kabel dan barang besi yang lain termasuk pintu pagar rumah, besi penutup longkang, periuk belanga, besi batu nisan di kubur dan semua bahan berunsur logam. Akibatnya ada orang yang hilang periuk yang sedang dijemur di hadapan rumah. Ada orang kehilanagan tong gas, ada orag kehilangan besi penutup longkang di hadapan rumah dan macam-macam lagi. Hinggakan kepala pili di masjid pun sanggup dicuri.

Pernah dulu saya cadangkan cara hendak mengatasinya. Batalkan lesen Bengkel Barang Lusuh. Kemudian barang-barang yang hendak dibuang iaitu barang lusuh ini dihantar ke sebuah pulau. Tubuhkan badan-badan atau firma penghantaran ini dengan mengenakan bayaran. Sesiapa yang hendak melupuskan barang, mesti membayar kepada firma tersebut.

Sifat manusia, apabila dikenakan bayaran untukmelupuskan barang, saya percaya tiada barang yang hendak dilupuskan. Barulah barang-barang tadi tidak dicuri. Tentulah lucu sedikit cadangan ini. Tapi ada negara yang berbuat demikian. Di Amerika misalnya, oleh sebab negara mereka luas, disediakan satu tempat yang jauh dari penempatan penduduk. Firma barang lusuh ini mengenakan bayaran kepada orang-orang yang menghantar barang untuk dilupuskan di situ.

Kita boleh praktikkan cara ini di negara kita. Tapi kerana negara kita kecil, boleh dicuba di mana-mana pulau yang banyak di perairan negara.

Saya bersimpati dengan kemalangan yang menimpa pemuda tadi. Dia dan keluarganya terpaksa menanggung derita untuk beberapa lama. Tetapi jauh di sudut hati saya, saya berkata, ‘Padan muka!”

No comments: