Saturday, October 4, 2008

KITA ADALAH PELAKON-PELAKON

Membaca kisah ‘Mat’ seperti yang disiarkan dalam Utusan Malaysia keluaran 26 September 2008 memang amat menyedihkan. Selepas berita tersebut tersiar, keluarga ‘malang’ tersebut tak putus-putus dikunjungi oleh ramai orang yang tentunya telah tersentuh hati mereka.

Tidak kurang pula yang menyatakan simpati dari jauh dan tidak kurang juga yang melontarkan persoalan apa telah berlaku kepada masyarakat tempatan sehingga sanggup membiarkan Mat dan adik-adiknya yang masih kecil jadi begitu.

Tulisan ADIPUTERAJAGAT dalam ruangan Forum ini pada hari Isnin 29 September 2008 yang seolah-olah mewakili pembaca akhbar ini menyedarkan saya betapa penjelasan patut diberi agar orang ramai tidak menyalah-anggap penduduk tempatan sebagai manusia tidak berperikemanusiaan, tidak peka kepada masalah penduduk yang lain.

Wartawan ZAMZURINA AHMAD yang menulis berita tersebut ternyata tidak membuat kajian yang menyeluruh terhadap permasalahan ini. Beliau telah secara tidak langsung telah meninggalkan kesan yang tidak baik kepada pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan Yan, PPD Kuala Muda/Yan, Jabatan Pelajaran Kedah, JKKK, imam dan masyarakat tempatan.

Wartawan tersebut sepatutnya menghubungi pihak-pihak yang dinyatakan tadi untuk mengetahui keadaan sebenar yang menimpa keluarga ‘malang’ itu. Oleh sebab ia berkaitan dengan masalah seorang pelajar, beliau sepatutnya berhubung dengan pihak sekolah terutama pihak kaunselor dan juga guru kelas pelajar tersebut untuk mengetahui sebab sebenar beliau tidak hadir sekolah. Jangan menbuat berita untuk menjadi popular dan memberi gambaran tidak baik kepada pihak yang lain.

Kata-kata ‘Dunia ini pentas sandiwara dan kita manusia adalah pelakon-pelakonnya’ didapati ada kebenarannya. Manusia memang memainkan peranan sebagai pelakon. Orang lain mudah terpengaruh dengan lakonan seseorang kalau ia membawa watak dengan berkesan.

Mat atau Norsharul Amri bin Anuar dan keluarganya telah berjaya menjiwai watak penting dalam ‘drama’ arahan Zamzurina Ahmad tersebut. Dan seluruh negara yang menyaksikannya telah tersentuh dengan jalan cerita drama itu seolah-olah golongan yang disebutkan oleh ADIPUTERAJAGAT tidak melakukan apa-apa.

Sebenarnya masyarakat tempatan bukan menyisihkan keluarga tersebut sesudah ketua keluarga itu dipenjarakan. Mereka tidak mahu ‘diselamatkan’ sesudah bapa mereka keluar masuk penjara beberapa kali atas kes yang sama iaitu najis dadah. En. Anuar ini tidak pernah mahu insaf setiap kali keluar penjara. Jangan hendak salahkan masyarakat setempat.

Norsharul Amri pula sering ponteng sekolah tanpa sebab dan perkara ini tidak diambil serius oleh ibunya. Perkara ini berlaku berulang-ulang sehingga menyusahkan pihak sekolah. Apa yang boleh Guru Tingkatan buat jika beliau sendiri memilih untuk tidak mahu belajar? Jangan mudah percaya bahawa beliau berhenti sekolah kerana mencari rezeki menyara adik-adiknya. Mintalah ibunya bercakap seikhlas hati tentang perkara ini. Dan hal yang sama berlaku kepada adik Mat iaitu Mastuti yang baru belajar di Tingkatan Satu sekarang, yang juga kerap ponteng sekolah walaupun mendapat biasiswa.

Kalau betul mereka memerlukan bantuan, sudah tentu datuk saudara mereka yang tinggal berdekatan tidak akan berdiam diri kerana beliau orang yang disegani di daerah ini. Orang luar tidak tahu bahawa keluarga ‘malang’ ini jugalah merupakan peniaga nasi bungkus di siang hari pada bulan Ramadan lalu ketika orang lain berpuasa.

Saya berharap selepas ini saudari Zamzurina hendaklah menulis berita yang lebih adil agar ada pihak yang tidak ditempelak oleh orang ramai. Ingatlah perasaan guru-guru yang mendidik dan berusaha menangani berbagai masalah sosial pelajar termasuk juga Si Mat ini. Anda sendiri pun tentu tidak lupa kepada guru-guru yang telah mendidik diri anda satu ketika dahulu.

Semoga selepas semua ini, keluarga tersebut akan berubah. Dan Mat serta adiknya tidak akan ponteng sekolah lagi. Kalau pergi ke sekolah, harap-harap tidak lompat pagar lari pulang lagi. Ingatlah, anda sudah populer sekarang. Saudari Zamzurina telah mempopulerkan anda.

Diharap saudari Zamzurina akan menulis berita yang lebih adil selepas ini.

No comments:

Post a Comment