Thursday, October 30, 2008

CABARAN BANGSA MELAYU TENTANG BAHASA MEREKA

Dalam sehari dua ini semua orang Melayu sama ada secara individu atau melalui badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan lantang menyuarakan rasa kurang senang dan marah kepada Kerajaan Pulau Pinang yang telah meluluskan permohonan Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk menggunakan berbagai bahasa di papan tanda Kawasan Warisan di pulau itu.

Semua yang bersuara, mengutuk Kerajaan Pulau Pinang yang dianggap melanggar Perlembagaan Persekutuan dan engkar kepada titah Raja-Raja danYang DiPertuan Agong agar Bahasa Melayu dipertahankan sebagai Bahasa Rasmi Negara. Lagipun baru-baru ini Majlis Raja-Raja telah mengeluarkan nasihat supaya semua pihak tidak memperetikaikan lagi Hak Istimewa Orang-orang Melayu dan kedudukan Bahasa Kebangsaan.

Sekali pandang memang jelas apa keperluannya papan tanda itu ditulis dengan semua bahasa yang ada di negara ini. Dengan satu Bahasa Melayu pun sudah cukup difahami kerana sebagai rakyat yang sudah mengaku sebagai rakyat Malaysia dan sudah 51 tahun merdeka, sudah pasti Bahasa Melayu sudah menjadi Bahasa Perhubungan antara kaum.

Tetapi orang-orang Melayu tidak sedar sebenarnya orang Melayu sendiri tidak menghormati Bahasa Kebangsaan itu. Mereka dengan didahului para pemimpin negara berasa malu menggunakan bahasa tersebut walaupun di khalayak bangsa Melayu sendiri. Dalam sidang-sidang akhbar atau dalam ucapan-ucapan yang dihadiri oeh orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia lainnya, para pemimpin lebih cenderung menggunakan Bahasa Inggeris.

Hari ini mereka bercakap tentang komitmen kerajaan mahu memartabatkan Bahasa Kebangsaan, esoknya pemimpin yang sama dengan ghairah bercakap Inggeris di khalayak wartawan Malaysia sendiri. Bukankah ini satu hal yang pelik? ‘Cakap berdegar-degar, ekor bergelumang tahi’ atau ‘cakap tak serupa bikin’.

Hampir setiap hari kita mendengar Menteri-menteri berucap dengan Bahasa Inggeris. Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah sering mengadakan sidang media dalam Bahasa Inggeris. Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib pun serupa. Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin sendiri yang bercakap tentang hendak memartabatkan Bahasa Kebangsaan juga ghairah sekali mengunakan Bahaa Inggeris. Beberapa menteri yang lain juga melakukan perkara yang sama.

Jadi buat apa kita hendak sibuk-sibuk dan marah-marah bila Kerajaan Pulau Pinang tidak menghormati Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Melayu? Bangsa Melayu sendiri tidak suka menggunakannya, apatah lagi kaum lain. Kita malu dengan bahasa itu, kita memaksa orang lain menghormatinya.

Kalau kita mahu bahasa kita dihormati dan disanjung, kita terlebih dahulu melakukannya. Kita martabatkan Bahasa Melayu pada kedudukan yang sepatutnya dahulu. Kita jangan malu menggunakan Bahasa Melayu dalam apa juga situasi atau forum. Lama-lama orang akan faham bila kita serius dengan komitmen kita.

3 comments:

Sarfarizmal Saad said...

Salam Blogger,

TERIMA KASIH Tuan kerana membuat link dengan blog kerdil saya.

Sesungguhnya saya insan baru di dunia yang hanya ingin melihat perkara benar dikata benar dan perkara salah diungkap sebagai salah.

Semoga terus suksess dalam blogger.


Ikhlas,


Sarfarizmal Saad
Bangi, Selangor Darul Ehsan

melayuangkat said...

Assalamualaikum,

Nasib baiklah 4 bangsa dominasi sahaja di Malaysia ni. Bayangkan kalau 10. Penuh papan papan tanda!!!

Ikut sahaja Indonesia..sayang pada bahasa ibunda mereka..semangat patriotrik yang tinggi terhadap negara mereka.

Ni, kalau bagi muka lagi naik mereka lemak dan demand macam macam..tinggal lebih 51 tahun konon di Malaysia, tanda atau nama jalan raya dalam Bahasa Malaysia pun tak reti dan boleh baca dalam B Malaysia..malu sahaja, passport pegang passport Malaysia.

mountdweller said...

Tuan,

Kekadang tu kita tidak boleh salahkan orang lain yang mengada-ngada. Tetapi kita sendiri yang hilang jati diri.

Yang tahu English kita berbahasa inggeris dengan bangsa lain, tidak pakai bahasa melayu. Yang tidak tahu berbahasa inggeris mereka ikut pula longhat bangsa lain tu. Kalau dengan cina "Eh lu mau pigi mana?" Kalau dengan india pula "Hee Samy mana ko mau pegi?"

Kalau cina, india cakap terbalik, kita pun cakap terbalik! Jadi sapa nak hormat bahasa kita?