Sunday, October 26, 2008

BAHASA KEBANGSAAN: CAKAP TAK SERUPA BIKIN!

Dua hari lepas Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein membuka semula polemik tentang bahasa yang sudah bosan didengar. Bosan bukan kerana tidak mahu berbincang tentang Bahasa Kebangsaan itu, tetapi bosan kerana bunyinya seperti ‘cakap tak serupa bikin’. Lain yang dicakapkan, lain pula tindakan yang dibuat oleh kerajaan.

Kita telah melancarkan gelombang baru gerakan memperkasakan Bahasa Kebangsaan ketika Datuk Seri Hishamuddin merasmikan sambutan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2006. Selepas itu ia tidak berkesinambungan hinggalah sekarang. Telah dua tahun berlalu, bukan setakat bahasa itu tenggelam punca, DBP sendiri turut menerima tempiasnya.

Lunak dan sedap sekali kata-kata Menteri Pelajaran Malaysia hari ini bila menyatakan bahawa kerajaan akan terus komited memperkasakan Bahasa Kebangsaan sebagai asas perpaduan dan menjadi Bahasa Ilmu di negara ini, khasnya melalui pendidikan. Betulkah perkara ini? Adakah beliau faham apa maksud komited yang beliau katakan?

Itulah yang bermain-main di fikiran saya. Komited yang macam mana yang Datuk Seri Hishamuddin maksudkan? Kalau diteliti Kamus Dewan yang dikeluarkan DBP, komited bermaksud mempunyai komitmen iaitu bersikap memberi sepenuh tenaga dan perhatian kepada sesuatu.

Maknanya, jika komited terhadap memperkasakan Bahasa Kebangsaan, tentulah kerajaan memberi komitmen sepenuhnya terhadap bahasa itu. Itulah yang saya faham.

Saya amat bersetuju dengan penjelasan bapa Menteri tersebut mengenai Bahasa Kebangsaan. Menurut DS Hishamuddin, memperkasakan Bahasa Kebangsaan adalah fokus pertama dalam pembinaan dan pembentukan negara bangsa bersandarkan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Rasmi negara. Dan beliau yakin agenda ini akan dapat dilaksanakan dalam RMK9 dengan pembabitan semua pihak.

Pihak mana yang Menteri Pelajaran maksudkan?

Bagi sebahagian rakyat, tidak ada masalah. Bahasa Kebangsaan tetap diutamakan dalam aktiviti harian masing-masing. Cuma sekumpulan rakyat yang masih berdegil terutama dari kaum-kaum selain kaum Melayu yang lebih selesa menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Malah ada segolongan pula sangat ghairah mahu menggunakan bahasa ibunda mereka di papan-papan tanda dengan alasan yang berbagai-bagai.

Jelas sekali rakyat jadi keliru dengan dasar kerajaan mengenai bahasa ini. Rakyat tidak pasti apa yang patut diambil tindakan ke arah memperkasakan Bahasa Kebangsaan kerana tidak ada program khusus ke arah itu dan juga kalau ada, ianya tidak berterusan.

Di Selangor dan Pulau Pinang yang tampuk pemerintahan dikuasai oleh DAP dan PKR, telah mengorak langkah ke arah tidak menghormati usaha ini. Papan-papan tanda jalan dan kawasan telah dipelbagaibahasakan. Kerajaan hanya boleh melarang tetapi tidak berusaha dan tidak berupaya menyekatnya.

Pihak pemimpin negara sendiri tidak berminat memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Menteri-menteri dan pemimpin berbagai peringkat lebih ghairah bertutur menggunakan Bahasa Iggeris dalam majlis-majlis walaupun khalayak yang hadir adalah rakyat Malaysia berbangsa Melayu. Keengganan mereka menggunakan Bahasa Kebangsaan dilihat menyumbang ke arah melemahkan Bahasa Melayu sendiri.

Kalaulah pihak kerajaan sendiri menunjukkan kesungguhan, saya percaya semua rakyat akan memberi kerjasama ke arah memartabatkan Bahasa Kebangsaan ini. Pihak Menteri-menteri sendiri patut melaksanakan tanggungjawab ke arah itu terlebih dahulu sebelum meminta rakyat berbuat perkara yang sama.

Hampir setiap hari saya melihat Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan menteri-menteri lain termasuk Datuk Seri Hishamuddin sendiri lebih selesa bertutur dalam Bahasa Inggeris daripada Bahasa Melayu.

Jangan terperanjat jika satu hari Bahasa Melayu akan lenyap atau sudah tidak setara dengan bahasa-bahasa yang lain. Puncanya para pemimpin sendiri yang cakap sahaja berdegar-degar untuk memperkasakan Bahasa Kebangsaan tetapi malu menggunakannya. Kata orang ‘kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.

Cakap tak serupa bikin!


1 comment:

Faizal Riduan said...

Tuan,

Sebenarnya perihal bahasa Melayu ini sudah tidak wajar menjadi isu kerana menjadi antara persetujuan terawal politik dalam hubungan PUTERA-AMCJA yang memuktamadkan bahawa Melayu sebagai rupa bangsa dan citra warganegara bagi Malaysia. Inilah antara kontrak sosial terawal penduduk Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia) yang dapat dilihat dalam manifesto pilihanraya pertama pada tahun 1955 oleh Perikatan UMNO-MCA-MIC iaitu "menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam masa sepuluh tahun sesudah merdeka”.

Namun kini setelah kemerdekaan berusia setengah abad sejauhmana kata dikota? Ketika semua orang menunding jari telunjuk pada kaum lain saya rasa 3 jari yang lain akan menunjuk pada batang tubuh Melayu itu sendiri yang mengkhianati warisan bahasa leluhur mereka. Jawapannya saya kira dalam satu frasa dan premis iaitu "Memelayukan Bahasa dan Membahasakan Melayu".