Monday, October 6, 2008

APA KEPUTUSANNYA?

Esok, Selasa 7 Oktober 2008 satu lagi kemelut melanda negara apabila Hakim S. M. Komathy Suppiah akan memutuskan samada kes yang melibatkn DS Anwar Ibrahim akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan di bawah peruntukan Seksyen 418 Kanun Tatacara Jenayah. Kita menunggu dengan penuh debar terhadap perjalanan kes ini kerana yang memohon hanya 3 orang pendakwa manakala yang menentang seramai 10 orang peguam dengan seorang peguam syarie sebagai pemerhati bagi pihak DS Anwar.

Kes ini tentulah akan mendapat liputan seluruh dunia kerana beberapa pemimpin besar dunia telah pun membuat kenyataan-kenyataan seolah-olah kita tidak pandai mengurus negara kita sendiri. Hinggakan seorang bekas presiden yang sudah ‘pencen’ pun turut serta dalam barisan pemimpin dunia mengutuk perundangan Malaysia.

Dan esok, jika keputusan memihak kepada pihak pendakwa, pasti aka nada suara-suara mengatakan mahkamah tidak adil. Kemungkinan demonstrasi jalanan akan berulang. Polis terpaksa berkerja keras tapi tak boleh berkasar nanti ada pula yang mewakili kumpulan hak asasi manusia membuat kenyataan. Tapi kita lihat di negara lain polis bertindak lebih dari itu pun tak ada siapa kata apa-apa. Tak ada pun kumpulan hak asasi yang bersuara.

Apapun keputusannya nanti, tidak ada satu pun yang enak di dengar bagi negara kita. Buatlah seadil manapun, kita dilihat sebagai tidak adil juga. Apapun keputusannya, ia bukanlah keputusan yang terbaik. Ibarat wajah kita, kalau sudah tercalar, apa benda pun dipakai, calarnya tetap kelihatan juga.

Tentu kita tahu siapa yang mencalarkan wajah kita. Tidak bersembunyi lagi, orang yang sama juga yang sering bercakap tentang keburukan negara kita di luar negara. Orang itu jugalah yang mempertikaikan sistem kehakiman kita sehingga semua keputusan yang dibuat oleh mahkamah kita dianggap tidak betul.

Orang yang sama jugalah yang sering bercakap tentang hendak mengambilalih pentadbiran negara. Tak kira semasa bercakap di dalam negara atau di luar negara, akibatnya para pelabur sudah mula takut hendak melabur di Malaysia. Yang rugi siapa? Orang yang bercakap itu akan rugi? Para pengikut yang ikut sama membuat tohmahan itu akan rugi?

Yang rugi adalah kita. Kita terlalu percaya membabi buta sehingga apa yang orang itu katakan seolah-olah satu wahyu, yang wajib kena percaya tanpa kita perlu berfikir. Betul apa yang dikatakan orang itu? Sehingga hari ini belum nampak kelibat seorang pun Ahli Parlimen BN yang hendak melompat parti. Yang tak jadi Ahli Parlimen adalah yang mula nampak hendak beralih dari Dacing ke Panadol atau Biji Mata.

Teka-teki ini amat merugikan kita. Masa kita yang sepatutnya digunakan untuk menjana pembangunan negara terbuang begitu sahaja memikirkan perkara yang dongeng semata-mata.

Kita imbas kembali peristiwa kes yang akan bersambung esok. Pada hari pertama Mohd Saiful Bukhari membuat laporan polis, DS Anwar lari bersembunyi di Kedutaan Turki dengan alasan nyawanya terancam. Beliau sanggup berada di kediaman duta tersebut tanpa diundang. Memang sungguh-sungguh tak malu.

Kemudian selepas itu beliau membuat laporan BPR terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail atas satu kes yang berlaku 10 tahun lalu. Tapi rasanya laporan polis tersebut adalah bertujuan hendak mengalih tumpuan terhadap kesnya selain dari bertujuan hendak melumpuhkan siasatan polis dan pendakwaan oleh Peguam Negara. Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sudah pasti tidak boleh terlibat dengan kes menentang beliau.

Hari-hari berikutnya kita lihat beliau boleh berjalan sambil tersenyum tanpa risau lagi terhadap keselamatan nyawanya seperti yang didakwa sebelum ini. Tak terfikirkah kita? Kemudian beliau pergi pula ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan membuat laporan terhadap Mohd Saiful Bukhari dengan kes yang disebut sebagai Khazaf. Kes ini memerlukan saksi seramai 4 orang dan kita terfikir bahawa dalam kes liwat macam mana nak ada saksi. Bodohlah jenayah tersebut kalau nak meliwat pun bawa saksi.

Kemudian apabila Mohd Saiful bersumpah laknat, orang ini bukan hendak menyambut sebagai jalan penyelesaian tetapi menjaja ke serata pelusuk negara bahawa cara sumpah tersebut tidak betul. Katanya ulama-ulama besar dunia menasihati beliau jangan bersumpah begitu. Tapi sehingga hari ini tidak ada siapa pun yang mengajar Mohd Saiful bersumpah secara betul. Dan orang itu sehingga hari ini juga tidak pernah bersumpah menafikannya sebaliknya mempersendakan sumpah Mohd. Saiful.

Dan apabila memenangi kerusi Permatang Pauh dalam Pilihanraya Kecil baru-baru ini, beliau mencanang ke seluruh dunia bahawa beliau adalah bakal Perdana Menteri Malaysia selepas 16 September 2008. Semua orang percaya dan terus lupa kepada kes yang dihadapinya. Orang sudah lupa semuanya termasuklah lupa kepada mangsa liwat yang telah membuat pengakuan dan Sumpah Laknat.

Esok, kes ini akan ditangguh lagi. Tentulah. Bukan sedikit peguam di pihak beliau. Peguam-peguam itu yang terkenal dan masyhur belaka. Entah bila kes ini hendak selesai. Pihak pendakwa pula main ikut sahaja sebab tak mahu dilihat terlalu agresif, nanti dikatakan mahkamah tidak adil pula.

Sama-samalah kita lihat esok.

No comments: