Friday, September 12, 2008

NASIB BAHASAKU

Bila bercakap tentang Bahasa Melayu, saya rasa amat terkilan. Bukan kerana Bahasa Melayu tidak bagus, jauh sekali kalau hendak mengatakan ia tidak berguna. Tapi dari apa yang dilihat akhir-akhir ini, Bahasa Melayu semakin layu dan menyimpang dari usaha-usaha memartabatkannya. Agaknya rasa cinta terhadap bahasa nenek moyang ini telah hilang di kalangan rakyat Malaysia khasnya orang-orang Melayu sendiri.

Saya suka melihat negara-negara jiran terutama Thailand dan Indonesia. Rakyat negara itu begitu cintakan bahasa mereka. Di Thailand, (kebetulan negeri saya berjiran dengan mereka) Bahasa Thai menjadi bahasa pertuturan mereka. Dalam acara-acara rasmi mereka gunakan Bahasa Thai malah kecintaan mereka terhadap bahasa dan budaya mereka terbawa-bawa sehingga nama mereka pun adalah dalam Bahasa Thai, tidak kira mereka keturunan Siam, Cina atau Melayu.

Di Indonesia juga serupa. Bahasa Indonesia dijulang ke martabat yang paling tinggi. Mereka gunakan Bahasa Indonesia dalam pertuturan mereka tidak kira dalam majlis rasmi atau tidak rasmi. Malah nama-nama mereka pun ditukar ke Bahasa Indonesia sehingga menjadi kesukaran kepada kita untuk mengenali keturunan mereka samada Melayu atau Cina. Sama sahaja.

Tetapi di negara kita lain pula jadinya. Orang Malaysia tidak suka bahasa sendiri. Yang peliknya antara mereka ini adalah orang-orang Melayu sendiri. Kaum yang lain masih mengekalkan Bahasa Ibunda mereka dan menjadikan Bahasa Rasmi negara ini hanya sebagai bahasa kelas ketiga. Tapi orang-orang Melayu sendiri seperti lupakan hakikat kewujudan bahasa itu dan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kelas kedua.

Kalau begini keadaannya, jangan lagi kita harap bahasa ini akan berada di persada lebih tinggi, malah akan terperosok ke lembah yang menyayat hati.

Para pemimpin Melayu selalu bercakap untuk memartabatkan Bahasa Melayu. Mereka menyeru para pelajar mendalami ilmu bahasa itu dan mengunakannya dalam aktiviti harian. Ada seorang pelajar universiti tempatan di selatan tanahair bertanya saya bagaimana hendak memartabatkan Bahasa Melayu menjadi bahasa bertaraf dunia. Dia sedang menyiapkan tesisnya mengenai perkara itu. Kasihan dia, begitu cintanya terhadap Bahasa Melayu.

Tetapi Para pemimpin Melayu sendiri secara terang-terang meletak bahasa itu ke dalam kelompok kelas dua. Kononnya untuk maju, gunakan Bahasa Inggeris lantas diperkenal PPSMI untuk tujuan tersebut. Ini memberi makna bahawa pemimpin sendiri tidak mengiktiraf dan tidak yakin bahawa Bahasa Melayu boleh memajukan bangsa. Tetapi kita lihat Jepun dan Korea maju juga walaupun menggunakan bahasa ibunda mereka mendalami ilmu.

Orang-orang Melayu sendirilah yang meminggirkan Bahasa Melayu. Jangan salahkan orang lain. Semalam sahaja beberapa tokoh ditemuramah pemberita, dan apabila menjawab, mereka menggunakan Bahasa Inggeris. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah sendiri ketika sidang akhbar bercakap Inggeris sedangkan khalayak pada masa itu adalah wartawan tempatan yang rata-rata tahu dan faham Bahasa Melayu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahril Samad, sering menggunakan Bahasa Inggeris setiap kali ada sidang media seolah-olah khalayak tidak faham Bahasa Melayu.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Abdul Aziz Zainal semalam dalam menyampaikan amarannya kepada sesiapa yang cuba memainkan isu perkauman, juga menggunakan Bahasa Inggeris sedangkan yang mendengar adalah rakyat Malaysia yang sudah tentu faham jika beliau sampaikan dalam Bahasa Melayu.

Ini sekadar beberapa contoh sahaja.

Untuk memartabatkan Bahasa Melayu menerlukan kerjasama dan pengorbanan banyak pihak. Bermula dari para pemimpin hinggalah kepada rakyat jelata. Yang menjadi terasnya adalah rasa kecintaan dan tanggungjawab terhadap bahasa itu. Pihak media cetak dan elektronik juga patut memainkan peranan yang lebih adil.

Kalau kita sendiri malu menggunakan Bahasa Melayu, bagaimana kita mahu orang lain menghormatinya? Ada orang berasa sangat kerdil apabila menggunakan Bahasa Melayu kerana takut diperlekehkan padahal ia sama sahaja dengan bahasa-bahasa yang lain, untuk berkomunikasi. Jika kita sentiasa menggunakan Bahasa Melayu, orang yang tidak faham akan berusaha mempelajarinya. Jika tidak, sampai bila pun macam itu juga.

Tokoh-tokoh pemimpin sendiri tidak yakin dengan Bahasa Melayu. Bagaimana Bahasa Melayu hendak dimartabatkan? Jangankan bertaraf dunia, bertaraf tempatan pun tidak akan berhasil. Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan untuk mengembangkan dan mendaulatkan Bahasa Melayu tetapi seolah-olah telah menjadi sebuah Muzium Bahasa dan menjadi tempat rujukan semata-mata.

Kasihan rakyat Malaysia dan kasihan Bahasa Melayu.

No comments: