Saturday, August 30, 2008

PENIAGA BARANG LUSUH MESTI BERTANGGUNG-JAWAB

Langkah kerajaan membuka semula pemberian lesen kepada pengusaha kedai barang lusuh adalah langkah yang kurang bijak dan terburu-buru. Hanya disebabkan desakan dan keluhan peniaga-peniaga barang lusuh yang tertekan kerana hilang punca pendapatan, bukan satu alasan yang konkrit. Keputusan ini memerlukan satu kajian yang teliti terlebih dahulu.

Sebelum ini pun telah ada tulisan-tulisan yang menyentuh perkara ini. Tulisan-tulisan ini perlu juga diambil kira walaupun diutarakan oleh penulis-penulis kerdil dan tidak ternama. Penulis-penulis ini tahu apa yang berlaku di sebalik perniagaan barang lusuh ini. Walaupun tiada bukti, tetapi saya yakin terdapat juga antara premis peniaga-peniaga barang lusuh ini yang menjadi pusat transit barang-barang logam yang dicuri. Mereka tahu dan harus bertanggung-jawab.

Kecurian kabel dan bahan-bahan besi seperti penutup longkang dan besi pagar rumah yang sangat menjadi-jadi sekarang adalah kerana barang-barang ini dibeli oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika tadi. Mereka tahu bahawa bahan-bahan tersebut adalah barang curi, tetapi mereka membeli juga dengan harga yang lebih murah dan dapat untung lebih. Prinsipnya mudah sahaja. Kalau tidak ada orang hendak membeli, tentu pencuri-pencuri ini tidak boleh menjual. Apabila tidak ada tempat yang boleh dijual, tidak ada kecurian.

Tidak munasabah sama sekali mereka tidak tahu tembaga yang mereka terima adalah hasil dari talian kabel yang dipotong oleh pencuri-pencuri seperti yang mereka dakwa. Tidak masuk akal besi pagar rumah pun mereka tidak kenal sedangkan ia dijual kepada mereka masih dalam keadaan asal. Begitu juga dengan periuk, tong gas dan barang besi yang lain. Munasabahkah seorang manusia pergi ke kedai barang lusuh semata-mata hendak menjual sebiji periuk alumuniam miliknya sendiri?




Peniaga-peniaga ini telah berpengalaman dan tahu semua jenis barang. Setiap logam yang mereka terima, ada kod-kod khas yang hanya peniaga barang lusuh sahaja tahu. Mereka seharusnya bertanggung-jawab dan beretika. Mereka harus mengelak dari menerima barang-barang logamyang mereka tahu bahawa barang itu adalah tidak sah.

Jadi apabila pengeluaran lesen ini dikeluarkan secara mudah, saya yakin akan menggalakkan lagi pencuri-pencuri aktif kembali dengan aktiviti mencuri kabel telefon dan besi-besi yang lain.


Kalau tidak percaya lihatlah di sepanjang jalanraya ke kampung-kampung, contohnya di tempat saya sendiri. Ada tempat-tempat hanya tinggal tiang sahaja. Ini amat menyusahkan pengguna-pengguna telefon dan internet. Bayangkan apabila longkang-longkang terbuka akibat besi-besi penutupnya telah dicuri, membahayakan orang ramai terutama kenderaan dan kanak-kanak.




Jadi saya harap pemberian lesen untuk tujuan ini harus dikaji dan saringan patut dibuat untuk memilih individu yang bertanggung-jawab sahaja diluluskan lesennya. Mana-mana individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan tidak bertanggung-jawab ini hendaklah disisihkan.

Fikir-fikirkanlah.

No comments:

Post a Comment