Wednesday, November 19, 2008

ESOK SAYA AKAN KE TANAH SUCI

Dengan rasa rendah hati, saya memohon ampun dan maaf kepada siapa sahaja yang sempat menatap tulisan ini jika ada apa-apa kata saya yang terasa di hati selama saya berada di Laman ini. Esok saya akan memulakan perjalanan ke Tanah Suci menunaikan fardu Haji dan Umrah.

Saya akan kembali ke tanahair selepas 45 hari berada di sana.

Rasanya selepas ini saya akan teruskan juga menulis untuk kepuasan diri semata-mata. Hanya untuk kepuasan diri! Orang lain tentu tidak berminat membaca kerana mungkin saya terlalu serius dalam sesuatu isu.

Walau apa pun, saya akan ke Mekah esok.

Monday, November 10, 2008

ANTARA EX-GRATIA DAN HARGA BARANG

Salah seorang tentu berbohong. Mahathirkah yang betul, Nazrikah yang betul? Biar siapa pun yang betul, salah seorang telah berbohong. Nazri kata hakim-hakim itu dinasihatkan bersara awal manakala Mahathir pula tegas berkata bahawa mereka dipecat. Mereka berdua sahaja yang tahu siapa berbohong, siapa tidak. Kami orang-orang kampung hanya mampu meneka.

Pecat atau bersara awal bukan urusan lagi. Peduli apa. Yang penting mereka telah dibayar ‘ex-gratia’ jutaan ringgit. Untuk 6 orang hakim sebanyak RM10.5 juta dilunaskan kepada kerajaan Malaysia yang baik hati. Ada yang dapat sampai RM5 juta dan yang paling sedikit RM500 ribu. Itupun sudah banyak bagi kami yang tinggal di kampung-kampung.

Kami orang-orang kampung ni tidak kisah sangat berapa juta kerajaan terpaksa berhabis untuk perkara yang menurut Tun Mahathir sebagai tidak perlu itu kerana ada antara 6 hakim itu menerima 3 jenis pencen. Kami tidak tahu 10.5 juta itu sebanyak mana. Agaknya kalau diisi dalam beg orang pergi Haji mungkin penuh padat. Hendak mengira RM1 juta pun kami tidak pandai. Buat masa ini, dapat RM1000 pun kami rasa sudah tidak terkira banyak.

Yang kami fikirkan sekarang tentang harga barang yang tidak turun-turun walaupun harga minyak sudah empat kali turun. Dulu harga barang dinaikkan dengan begitu cepat, alasannya kerana harga minyak naik. Sekarang harga minyak sudah turun, kenapa harga barang masih macam itu juga? Inilah yang merunsingkan rakyat.

Yang kami runsing tentang cuaca tidak menentu. Kadang-kadang hujan dan kadang-kadang panas. Akhir-akhir ini kami kerap dilanda banjir. Pemimpin kerajaan bukan hendak memikirkan perkara itu tetapi sebaliknya asyik bercakaran merebut jawatan dalam parti. Hari-hari cerita mengenai perebutan ini menjadi topic utama, bukan kesusahan rakyat.

Dalam duduk fikir-fikir tentang harga barang yang masih membebankan, Datuk Noh Omar pula umumkan kenaikan tambang bas dan teksi. Entah apa rasionalnya pun susah kita hendak faham. Harga minyak dah turun, tambang pula naik. Barangkali Noh Omar tidak tahu ataupun lupa bahawa yang selalu menaiki bas dan teksi adalah rakyat miskin yang tidak ada kereta. Itulah sahaja pengangkutan untuk kami dari kampung ke kota.

Orang yang ada kereta sudahlah harga minyak dah turun, dapat ‘rebate’ tunai lagi. Kami orang kampung yang naik bas dan teksi kena bayar lebih pula. Bukankah itu pelik? Daripada memikirkan ex-gratia RM10.5 juta yang kami tidak faham itu, lebih baik memikirkan apa kami nak bagi anak-anak kami makan esok kerana harga ikan kembung pun sudah mencecah RM8.00 sekilo dan cili mencecah RM6.00 sekilo.

Rakyat sekarang sudah boleh berfikir dan menentukan yang mana perlu difikirkan dan nyang mana tidak perlu. Dah diharap pihak kerajaan melalui pegawai-pegawainya atau bapa-bapa Menteri juga memikirkan perkara serupa daripada sibuk hendak berdebat untuk menunjukkan siapa pandai bercakap.

Itulah kerja orang-orang politik. Tak kira siapa mereka pemerintahkah atau pembangkangkah, sama sahaja.

APA RAFIDAH NAK BUAT SELAMA TIGA BULAN?

Exco Wanita yang bermesyuarat hari ini memutuskan bahawa peralihan kuasa pergerakan itu tetap seperti rencananya iaitu pada Jun 2009. Rumusan juga dibuat bahawa tidak ada pertandingan jawatan Ketua dan Timbalan Ketua. Meleset semua spekulasi yang timbul akhir-akhir ini bahawa sama ada wujud pertandingan atau peralihan kuasa dipercepatkan.

Semalam Sharizat bersuara seperti yang dijangkakan. Walaupun dikatakan seperti ‘melawan ketua’, memang wajar sekali beliau menyuarakan hasrat supaya peralihan kuasa Pergerkan Wanita di selaraskan pada Mac ini semasa persidangan Perwakilan. Sejajar dengan peralihan kuasa Presiden, adalah lebih manis jika perkara yang sama berlaku kepada Wanita.

Bukan setakat Presiden, malah semua sayap UMNO mendapat ketua yang baru. Pemuda sudah ada tiga calon dan salah seorang akan tepilih menjadi Ketua Pemuda. Beitu juga dengan Puteri dan Putera nya, Jadi tidakkah sesuatu yang pelik peralihan Ketua Wanita berlaku pada Jun 2009?

Entah apa yang bermain di fikiran Rafidah sehingga tidak mahu melepaskan jawatan tersebut. Penting sangatkah jawatan tersebut membuatkan Rafidah mahu memegangnya untuk tempoh tiga bulan lagi?

Dan apa yang beliau hendak buat dalam masa tiga bulan selepas perhimpunan nanti. Hendak mengukuhkan Pergerakan Wanita? Rasanya Wanita akan lebih kukuh jika beliau umumkan peralihan sekarang kerana sokongan kepada Sharizat semakin mantap.

Apa agenda lagi yang belum selesai yang mahu dilakukan Rafidah? Tidak ada siapa tahu. Tetapi bila dilihat kepada pencalonan untuk Sharizat, jelas ia merupakan mesej yang nyata kepada Rafidah betapa ‘grass-root’ mahukan perubahan kepimpinan.

Bukan perwakilan tidak sukakan Rafidah tetapi peralihan kuasa lebih penting. Mendapat Ketua yang baru lebih menjadi keutamaan sejajar dengan sayap UMNO yang lain. Lagipun hanya membuang masa menunggu tiga bulan dan kemudian Sharizat hanya ‘memangku’ jawatan itu sedangkan inilah peluang untuk berundur secara terhormat.

Teka-teki yang dimainkan Rafidah mendatangkan kesan kepada orang lain. Azalina tidak cukup pencalonan untuk bertanding Timbalan kerana Bahagian-bahagian telah mencalonkan Sharizat. Andainya Rafidah tidak bertanding, sudah tentu Sharizat dicalonkan Ketua dan peluang untuk Azalina terbuka luas.

Dan sekarang semuanya terungkai. Rafidah tetap dengan kemahuannya untuk memegang jawatan Ketua Wanita untuk tiga bulan lagi. Dan untuk jawatan Timbalan Ketua tidak akan ada pertandingan. Nanti selepas tiga bulan, apabila Sharizat memangku jawatan Ketua Wanita, siapa pula pemangku Timbalan Ketua?

Nampaknya Pergerakan Wanita sengaja mencari susah.

Saturday, November 8, 2008

APA HIDUP PALING LUNAK?

Bagaimanakah kehidupan yang paling diinginkan semua orang? Apakah bentuk kehidupan yang diimpikan setiap insan di dunia ini? Apa hidup paling lunak? Inilah soalan yang biasa bermain di fikiran saya selama ini. Soalan yang umum ini amat mudah diberi jawapan.

Memang banyak kehidupan ayang melunakkan. Memang banyak kehidupan yang diinginkan. Bergaduh tidak ada orang melawan yakni tidak ada yang berani dengan kita. Ini satu cara hidup yang lunak kerana kita dapat berbuat apa sahaja kepada orang lain. Kita mengumpat, tidak ada yang membalas. Lunak juga hidup begitu sebab kita akan rasa bebas. Berhutang tidak payah bayar. Lagi senang kehidupan begini, lebih melunakkan.

Semua orang inginkan kesenangan. Semua orang inginkan kekayaan dan memiliki seberapa banyak harta di dunia ini. Tidak ada orang yang mahu kesusahan dan keperitan dalam kehidupan di zaman serba kompetatif ini. Saban hari orang berebut-rebut untuk mendapatkan semua bentuk kesenangan walau apa cara sekalipun.

Cara hidup yang paling digemari manusia ialah berhutang dan tidak payah membayar hutang. Senang sahaja, bila berhutang tidak perlu bayar. Manusia memang suka berhutang sama ada berhutang budi atau harta-benda. Sejarah hutang ini telah bermula sejak zaman dahulu-kala lagi sehingga ada pantun Melayu berbunyi:

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati.

Ada juga kata-kata pendekar di zaman silam yang berbunyi:

Hutang darah dibayar darah,
Hutang nyawa dibayar nyawa
.

Dari pantun tersebut jelas menceritakan peri pentingnya membayar hutang tak kira sama ada berhutang harta-benda waima berhutang budi sekalipun. Hutang mesti dijelaskan. Wajib dibayar di dunia ini juga kecuali berhutang budi sahaja yang di bawa sehingga kita mati. Malah orang yang membunuh akan menerima balasan setimpal.

Sebab itulah sebelum mayat seseorang hendak dibawa ke kuburan bagi dikebumikan, waris akan meminta pemiutang si mati tampil ke hadapan untuk dilangsaikan hutang arwah sekiranya ada. Orang yang hendak berangkat ke Tanah Suci juga begitu. Seboleh-bolehnya semua hutangnya hendak diselesaikan supaya ia dapat pergi dengan tenang seolah-olah akan mati di sana.

Begitulah pentingnya membayar hutang!

Tetapi bersediakah kita untuk membayar hutang? Banyak hutang kita. Ada orang membeli rumah secara hutang dinamakan Pinjaman Perumahan. Hutang yang ini mudah dibayar sebab dibuat secara potongan gaji. Hutang kenderaan dipanggil Sewa-Beli. Sewa-beli kenderaan juga sejenis hutang. Adakah hutang ini kita selesaikan setiap bulan?

Dan yang penting hutang kita dengan Tuhan. Banyak hutang kita denganNya, tidak terkira. Sembahyang lima waktu sehari, puasa di bulan Ramadan, Zakat dan janji kita dengan Allah tentang keimanan kita adalah hutang kita denganNya. Langsaikah hutang kita itu?

Bila kita ada hutang, lunakkah hidup kita?

LOYAR BURUK DI KAMPUNG PUN TAHU

Akhirnya telah sah kes Anwar tidak dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Memang telah dijangkakan. ‘Loyar buruk’ yang tinggal di kampung yang bersidang di kedai-kedai kopi pun boleh menjangka keputusan tersebut. Tak payah tunggu hingga berminggu-mingu untuk membuat keputusan. Buat habis masa dan wang ringgit sahaja.

Dulu semasa mula-mula kes Anwar di peringkat laporan lagi sudah saya katakan bahawa Anwar seorang yang cukup bijak. Beliau mengambil langkah awal supaya dirinya tidak terjerat. Yang herannya macam mana pihak pendakwa tidak dapat berfikir seperti loyar kampung berfikir?

Anwar sudah ‘mengikat’ Ghani Patail pada hari pertama kes beliau di bawa ke mahkamah. Laporannya terhadap Musa Hassan dan Ghani Patail kepada BPR sebagai amaran supaya kedua-dua individu ini tidak melibatkan diri dengan kes liwat itu. Mereka berdua diikat awal-awal lagi.

Musa Hassan mengambil langkah yang betul dengan tidak masuk campur dalam urusan siasatan kes tersebut. Harap-harap Ghani Patail pun begitu juga, jangan melibatkan diri dalam kes ini.

Pada peringkat awal memang betullah tindakan mereka. Loyar-loyar kampung ini lihat kedua-dua mereka memang tidak masuk campur dan kami semua gembira bercampur kesal. Gembira kerana mereka berdua mengambil pendekatan yang betul dan kesal kerana tidak ada siapa melihat motif Anwar membuat laporan BPR itu.

Tiba-tiba kita dikejutkan dengan surat permohonan pendakwa untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi ditandatangani Ghani Patail. Kenapa tidak boleh berfikir? Tak payah bersidang menggunakan Yang Arif SM Komathy Suppiah untuk menentukan sahnya surat tersebut. Kami loyar buruk di kedai kopi pun boleh buat keputusan. Tak payah bersidang berhari-hari dan memanggil saksi-saksi. Buang masa sahaja.

Secara logiknya sudah tentu sekali surat tersebut tidak laku atau kata orang putih, ‘unvalid’. Dan itulah yang dijangka Anwar lebih awal apabila beliau terus melaporkan kepada BPR tempoh hari. Dan jangkaan Anwar betul-betul berlaku.

Yang dihairankan, kenapa perkara yang semudah itu tidak dapat difikirkan oleh Ghani Patail dan barisan pegawai pendakwa? Kenapa tidak suruh Musa Hassan pula membuat siasatan. Baru betul! Orang ketawa melihat kebodohan kita.

Tetapi biarlah mahkamah mana pun, Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Sesyen, sama sahaja. Yang bersalah tetap akan bersalah dan yang bebar tetap akan benar juga. Kasihan Mohd Saiful Bukhari yang tidak siapa pedulikan maruah beliau. Pemangsa bebas bergerak dan bercakap, si mangsa jadi tidak keruan nasibnya.

Inilah petanda dunia akhir zaman!

Friday, November 7, 2008

APA AKAN TERJADI KEPADA MEREKA?

Tanggal 11 November 2008 merupakan hari bermulanya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2008 bagi pelajar-pelajar Tingkatan Lima dan calon-calon persendirian yang berdaftar. Ini bermakna sessi penentuan masa depan para remaja kita datang lagi untuk menguji keberkatan usaha mereka selama 5 tahun di bangku sekolah.

Tetapi persoalan yang hendak saya kongsi di sini bukanlah mengenai peperiksaan tersebut kerana kali ini saya tidak terlibat langsung dengannya. Apa yang hendak saya perkatakan adalah mengenai para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan tersebut khasnya dan semua pelajar amnya.

Sepanjang pengamatan saya di musim peperiksaan, beberapa kejadian yang saya anggap sangat tidak munasabah berlaku hasil dari sikap para pelajar sendiri. Ada pelajar yang selama beberapa bulan tidak datang ke sekolah, tiba-tiba pada hari peperiksaan mereka muncul.

Yang perempuan datang dengan pakaian seragam lengkap tetapi sudah lusuh. Yang lelaki menunggang motosikal serta berambut panjang. Ketika memasuki dewan peperiksaan, barulah tercari-cari tempat duduk.

Ada juga pelajar yang pulang ketika waktu rehat dan terus tidak datang kerana tertidur. Tidak ada siapa yang ambil kisah sama ada dia datang atau tidak untuk peperiksaan. Ada juga yang datang lewat melebihi masa yang ditetapkan.

Beberapa orng pelajar pula didapati merosakkan kad pengenalan mereka dengan sengaja. Bila ditanya kenapa mereka berbuat demikian, jawapan mereka amat menyedihkan. "Sahaja main-main!" Langsung tidak ada rasa bersalah.

Sepanjang masa peperiksaan, beberapa pelajar tIdak menjawab sebarang soalan, hanya duduk atau tidur sahaja. Bila orang pulang, mereka turut pulang. Datang sekadar menduduki peperiksaan sudah memadai bagi mereka. Memang mereka tidak menjawab kerana tidak pernah datang belajar.

Saya amat bersimpati dengan mereka kerana bukan semua sengaja memilih cara hidup demikian. Ada antara mereka terpaksa melalui keadaan seperti itu. Ibu mereka keluar pagi-pagi pergi berkerja, bapa pula pergi ke laut mencari rezeki. Mereka hidup sendiri-sendiri tanpa haluan.

Saya terfikir tentang masa depan mereka. Apa mereka hendak lakukan untuk menyara hidup mereka? Dan kalau telah berumahtangga nanti bagaimana anak-anak mereka pula?

Apa akan terjadi kepada mereka?

LABBAIKALLAH............



Sebelum berbicara lebih jauh, saya terlebih dahulu memohon ampun dan maaf jika selama saya berada di Laman saya ini ada perkara-perkara atau kata-kata saya yang menyentuh peribadi sesiapa. Kalau berlaku pun adalah di luar sedar saya dan terjadi secara tidak sengaja.

Sebenarnya saya akan menyepikan diri untuk satu tempoh yang panjang juga iaitu kira-kira 50 hari mulai pertengahan November ini. Saya akan menjadi tetamu Allah di Mekah untuk menunaikan fardu haji bersama isteri dan ibu. Kami akan hanya kembali ke tanah air selepas 46 hari.

Hasrat untuk menunaikan Rukun Islam Kelima ini memang tertanam di hati setiap muslim tetapi ada sahaja halangan setiap kali hendak melaksanakan perkara yang baik ini. Lepas satu hal, perkara lain pula yang datang yang memerluan penyelesaian. Lantas niat ke Mekah terpaksa dibatalkan. Kata orang belum sampai seru. Betulkah?

Sehingga sekarang ini, sudah ramai jemaah Malaysia berada di Madinah melalui penerbangan awal yang bermula pada 30 Oktober 2008 yang lalu.

Insyaallah! Saya akan berangkat ke sana pada pertengahan bulan November ini menjadi tetamu Allah meninggalkan anak-anak. Bolehkah tinggalkan mereka sendirian di rumah? Tentu boleh. Anak-anak telah pun dewasa dan boleh menjaga diri. Ini membuatkan saya tidak bimbang meninggalkan mereka.

Lagipun jiran-jiran di sini sudah tentu tidak akan membiarkan mereka bersendirian. Jiran-jiran akan membantu dan menggantikan saya dan isteri menjaga kebajikan anak-anak saya.

Kata orang, ujian kepada jemaah adalah sangat jelas dan tidak di sangka-sangka. Kadang-kadang ujian itu didatangkan Allah tanpa disedari. Kita merasa payah melalui sesuatu tetapi kita tidak tahu itulah ujian dariNya. Walau apapun, kita perlu bersyukur dengan pemberianNya.

Baru bulan lepas rumah orang tua saya ditenggelami air akibat banjir. Oleh kerana dia tinggal seorang diri, saya telah berusaha membantunya mengubah barang-barang di rumahnya ke tempat yang lebih tinggi dan selamat. Akibatnya saya rasa tidak selesa sekarang. Badan rasa sakit-sakit. Itulah ujian kepada diri saya.

Kepada sesiapa sahaja, saya harap dapat mendoakan agar amalan kami nanti diterimaNya. Semoga kami bertiga diberkati dan sentiasa berada dalam keadaan kesihatan yang baik serta mendapat HAJI MABRUR.

Insyaallah!

Wednesday, November 5, 2008

KECELARUAN INI SALAH SIAPA?

Bila disingkap kembali tentang kecelaruan politik negara ini, kita tercari-cari di mana silapnya dan siapa yang berbuat silap. Daripada tenang menjadi berkocak. Daripada tenteram bertukar menjadi goncang. Salah siapa?

Baik kita lihat semula bila kecelaruan ini bermula. Dahulu selepas Mahathir bersara dari jawatan Perdana Menteri dalam tahun 2003, semuanya masih tenang. Pilihanraya Umum 2004 menyaksikan BN menang besar dan semua orang membuat kesimpulan bahawa kredibiliti Pak Lah menaikkan peratus rakyat menyokong BN dan UMNO kerana orang suka slogan yang beliau perkenalkan iaitu “Jangan Bekerja Untuk Saya tapi Bekerja Bersama Saya”.

Kecelaruan ini bermula apabila Mahathir mengkritik Pak Lah selepas pembatalan projek mega Jambatan Bengkok yang direncanakan Mahathir sebelum bersara sedangkan Pak Lah sudah berjanji tidak akan berbuat demikian.

Bermula dari sinilah kecelaruan politik ini berlarutan sehingga sekarang. Bermula dari sinilah segala-galanya terjadi sehingga BN tersungkur di empat negeri lagi selepas Kelantan. Bermula dari sinilah, setiap hari kritik demi kritik oleh Mahathir, di dalam dan di luar negara sehingga membawa BN dilanda tsunami dan hilang majoriti duapertiga di Parlimen.

Pak Lah sebenarnya tidak lemah dan tidak ada cacat jika dibanding dengan Perdana Menteri sebelum ini, tetapi Mahathir membuatkan Pak Lah dilihat cacat dan lemah. Komen dan kritik Mahathir memburukkan Pak Lah dilihat mempengaruhi khalayak yang ramai untuk membuat kesimpulan bahawa Pak Lah lemah dan ‘teruk’ mentadbir negara.

Kalau orang macam kita yang kritik, siapa hendak peduli? Orang dengar pun tidak. Macam penulis-penulis blog juga, kalau orang biasa yang tulis, siapa pun tidak berminat membaca. Tapi kalau Raja Petra yang tulis, isu kecil macam manapun boleh jadi cerita hebat.

Jadi bila Mahathir yang membuat kritikan, sudah pasti ia menjadi sesuatu yang boleh dipercayai walaupun apa yang berlaku dalam pentadbiran mungkin sama kalau Mahathir masih lagi Perdana Menteri. Orang melihat kritik Mahathir sebagai betul. Cuba lihat penulisan Mahathir dalam Laman Blognya, ratusan komen pengikutnya yang rata-rata memuji pandangan beliau dalam setiap isu.

Mahathir juga dalam masa yang sama berjaya pula mengheret beberapa pemimpin lain turut serta mencemuh Pak Lah. Yang paling lantang dalam kategori ini adalah Muhyiddin Yassin. Timbullah pandangan-pandangan yang lain dari pemimpin-pemimpin seperti ini yang menghentam Pak Lah dan menyokong Mahathir.

Saya rasa jika Mahathir meletak dirinya sebagaimana orang lain yang ‘bersara’, kecelaruan ini pasti tidak berlaku. Maknanya jika Mahathir sudah bersara, buatlah secara orang bersara. Buat apa nak susahkan diri sehingga sanggup ‘keluar’ dari parti yang menjadi kesayangan beliau kerana mempertahankan prinsip yang terhasil dari dendam kesumat.

Kalau betul beliau sayangkan negara dan kerajaan, buat apa beliau memainkan peranan menyingkirkan Pak Lah. Apa salahnya beliau duduk bersama memberi nasihat kepada Pak Lah sebagaimana Lee Kuan Yew berbuat kepada anaknya di Singapura.

Jadi kecelaruan politik masa kini angkara siapa sebenarnya?
Kecelaruan ini salah siapa?

Tuesday, November 4, 2008

GEMBIRA DALAM DERITA

Semalam nampak Najib amat gembira bersama para penyokongnya mengangkat tangan tanda kemenangan. Menang Tanpa Bertanding! Saya tumpang gembira kerana tidak ada pertandingan jawatan Presiden, seterusnya tidak ada perebutan jawatan Perdana Menteri. Setakat itu sahaja gembira kita. Kalau mereka berebut-rebut jawatan PM itu, habis negara kita. Dalam tidak berebut pun dah tunggang-langgang dan ‘bercempera’ habis.

Tetapi betulkah menang tanpa bertanding? Jangan terlalu gembira sehingga lupa bahawa dalam UMNO ada beberapa ‘kem’ yang mempunyai beberapa orang ketua dan pemimpin pula. Hulubalang-hulubalang parti mewakili kaum Melayu ini harus ingat bahawa peraturan system ‘KOUTA’ yang dicipta Mahathir dan diguna-pakai itu menyelamatkan Najib dari menghadapi pertandingan. Kalau tak disebabkan oleh ‘senjata’ itu, bukan sahaja Tengku Razaleigh Hamzah yang akan beradu tenaga dengan Najib. Ada orang lain lagi berminat dengan jawatan nombor satu itu.

Sekarang orang-orang tersebut bukan main lagi memuji Najib padahal dalam hati Tuhan saja yang tahu. Muhyiddin Yassin pernah bersuara untuk berada dalam senarai pencabar untuk jawatan tersebut. Mohammad Mat Taib yang ada skandal duit RM2 juta dulupun berminat juga. Tetapi bila memikirkan susah hendak melepasi kouta tersebut, semua memendam rasa. Ya tak ya, kenalah memberi sokongan padu kepada Najib untuk menjaga diri terutama selepas Mac nanti.

Itulah politik dalam UMNO. Nak cari nahas memberi sokongan kepada Tengku Razaliegh? Orang yang pernah bersuara menyokong Mahathir pun cuba tengok apa sudah jadi. Rais Yatim bagaimana? Beliau masih penyokong Mahathir.

Muhyiddin Yassin kira bernasib baik kerana hanya melobi untuk jawatan nombor dua. Itupun sudah dihentam kiri-kanan oleh beberapa orang kuat Abdullah malah oleh Abdullah sendiri kerana dilihat sering ‘bercendoi-cendoi’ dengan Mahathir dan Mukrij.

Najib pula jangan gembira sangat. Ingatlah, setiap orang yang menyokong dan memuji itu ada agenda tersendiri. Itu semua strategi untuk selepas bulan Mac nanti selepas Najib menerima kuasa dari Abdullah. Dalam suasana politik yang semakin 'gila' sekarang, apapun boleh terjadi.

Pemimpin UMNO sibuk bercakaran sesama sendiri untuk merebut jawatan. Semua memberi pandangan dan nasihat seolah-olah ahli-ahli bodoh semuanya. Semua pemimpin sudah lupa tentang keluh kesah rakyat tentang harga barang. Lupa pada harga minyak yang turunnya lambat tidak seperti naiknya dahulu. Lupa pada rakyat yang menghadapi masalah kekurangan bahan makanan. Itulah kerja orang politik.

Dalam orang sibuk-sibuk menuntut penurunan harga barang , Noh Omar pula mengumumkan kenaikan tambang bas dan teksi. Sebab apa pula tambang bas dan teksi perlu dinaikkan? Harga minyak mahal? Kepentingan pengusaha bas sahaja diambil kira, kepentingan rakyat dan golongan bawahan yang menggunakan bas untuk ke mana-mana ini perlu juga dijaga. Orang kaya mana mahu menaiki bas.

Pemilik kenderaan sudah diberi subsiti berbentuk wang tunai (rebate) tetapi bagaimana penumpang bas? Pemilik dan pengusaha bas sudah dapat macam-macam, tiba-tiba penumpang pula kena bayar lebih.

Najib jangan seronok sangat, hanya menang sebab orang lain tidak boleh bertanding bukan orang tidak mahu bertanding. Orang lain pun kena ingat juga. Dalam masa memuji Najib bagai nak rak, perkara-perkara begini kena juga diambil kira.

Saturday, November 1, 2008

GURU YANG ORANG TIDAK TAHU

Penyair Usman Awang menulis pada tahun 1979 antaranya berbunyi;

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam yang menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Demikianlah jasa seorang guru, lebih-lebih lagi guru yang mengajar mengenal huruf pertama untuk dikenali, guru yang mengajar nombor pertama untuk diingati. Guru itulah yang sepatutnya lebih awal menerima penghargaan.

Orang hanya mengenali guru bila ada orang memanggilnya ‘cikgu’. Orang mengenali guru bila melihat dia membawa buku memasuki kelas atau kawasan sekolah. Selain dari situasi itu orang tidak kenal guru.

Usman Awang juga menulis;

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Orang tidak kenal guru. Setiap hari ada sahaja cerita kurang enak tentang guru. Kadang-kadang ada berita waris menyaman guru. Ada berita murid menendang guru. Ada berita tentang tuduhan guru menuntut gaji yang tinggi. Orang seperti sudah lupa bahawa mereka pernah bersekolah dan diajar oleh manusia bergelar ‘guru’.

Orang tidak sedar bahawa guru bersengkang mata memeriksa buku-buku kerja murid-muridnya hingga jauh malam, menyediakan soalan untuk ujian dan peperiksaan dan menyediakan bahan-bahan untuk diajar esoknya. Orang juga tidak peduli guru terpaksa mengorbankan hari cuti hujung minggu membawa murid-muridnya mengikuti aktiviti-aktiviti ko-kurikulum di tempat-tempat yang jauh meninggalkan anak-anak mereka.

Orang tidak tahu bahawa semasa musim peperiksaan begini para guru tidak senang duduk. Selagi keputusan peperiksaan tidak keluar, selagi itulah mereka tidak tenteram. Apa tidaknya, nanti kalau keputusan tidak memuaskan, mereka terpaksa menyediakan jawapan-jawapan untuk dijawab semasa post-mortem samada di peringkat sekolah, PPD dan juga Jabatan Pelajaran. Malah kadang-kadang pihak KementerianPelajaran sendiri datang menyelidik.

Tidak kira lagi pihak Nazir Sekolah. Masa inilah juga mereka mengambil kesempatan menekan guru-guru. Kumpulan Nazir ini kadang-kadang dilihat cuba ‘mengganggu’ guru-guru dengan saranan dan laporan mereka yang tidak munasabah kepada Kementerian Pelajaran.

Yang orang tahu guru mesti dikenakan tindakan apabila menghukum muridnya. Guru mesti ditukarkan walaupun sudah jelas yang bersalah adalah murid yang menendang guru. Yang orang tahu, permintaan guru supaya disemak gaji mereka jangan dilayan.

Orang lupa bahawa guru juga adalah manusia biasa. Orang lupa bahawa:

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.


Begitulah guru yang tidak siapa tahu mengenainya.

Friday, October 31, 2008

SPM 2008 SUDAH DEKAT.

Baru sebulan yang lepas selesai peperiksaan PMR, sekarang datang SPM pula. Bukan sahaja para pelajar Tingkatan lima yang berdebar-debar menanti saatnya, malah guru-guru yang mengajar mereka juga turut terasa gemuruhnya. Rata-rata guru menaruh harapan pelajarnya membuat yang terbaik.

Guru-guru yang mengajar Tingkatan Tiga sekarang sudah pun boleh berehat sekejap setelah bergelut dengan pelajar mereka menghadapi Peperiksaan PMR yang telah berakhir pada awal Oktober dahulu. Sekarang ini sedang menunggu keputusannya yang dijangka keluar pada penghujung Disember nanti.

Bagi sekolah-sekolah ternama dan dikategorikan sebagai Sekolah Elit, tidaklah timbul masalah sangat. Pelajar mereka sudah jauh lebih dari bersedia. Mereka sentiasa mengulangkaji pelajaran mereka malah ‘mengulangkaji’ merupakan salah satu rutin dalam hidup mereka.

Saya pernah berbual dengan saudara Azali Azlan (Pelajar cemerlang SPM 2007) selepas peperiksaan PMR yang didudukinya pada tahun 2005. Selepas dua minggu selesai PMR dia memberitahu bahawa dia sudahpun selesai membaca buku-buku mata pelajaran Kimia untuk Tingkatan Empat dan sedang berkira-kira untuk membaca buku Fizik pula.

Semasa beliau dalam Tingkatan 5 pada tahun 2007, beliau banyak menghabiskan hari-hari cuti hujung minggu dengan belajar sendiri mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah ketika orang lain pada masa itu pulang ke kampung atau menghadiri kelas-kelas tuisyen. Kadang-kadang di waktu petang beliau mengadakan kelas tuisyennya sendiri mengajar rakan-rakan yang lain yang lemah dalam mata-mata pelajaran tertentu.

Yang saya tidak dapat lupakan adalah setiap pagi Jumaat Azali menjadi Imam untuk sembahyang Sujud Sejadah di surau sekolah. Terasa syahdu dengan kemerduan dan kelancaran bacaan Azali ketika menjadi Imam itu.

Begitulah Azali. Tetapi berapa orang ‘Azali’ yang ada di negara kita?

Tidak hairanlah bila selepas keluar keputusan SPM 2007, beliau mendapat 1A dalam 20 mata pelajaran dan 2A bagi satu mata pelajaran. Ketika orang lain bermain atau ponteng sekolah selepas PMR, dia sudah selesai belajar dua mata pelajaran yang orang lain anggap susah.

Begitu juga pelajar dari sekolah-sekolah elit yang lain seperti MRSM, Sekolah Menengah Sains, Sekolah Sultanah Asma dan Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jenan. Mereka datang belajar di sini setelah melalui beberapa proses pemilihan. Sudah tentu kesedaran mereka sudah tidak dipertikaikan lagi. Masa belajar mereka tidak perlu dikawal lagi. Atau tidak perlu lagi menunggu arahan sesiapa untuk belajar.

Yang menjadi masalah ialah sekolah-sekolah lain yang kebanyakan pelajarnya adalah pelajar ‘biasa’ dan yang kurang baik pencapaiannya. Ada di antara mereka ini kadang-kadang pergi ke sekolah dan ada waktunya tidak pergi langsung. Banyak masa dihabiskan dengan melepak di tepi-tepi pantai dan di pekan-pekan.

Bila tidak belajar, apa mereka hendak buat masa peperiksaan nanti. Hendak mengulangkaji pun tidak ada apa yang hendak diulangkaji sebab tidak belajar. Hendak membaca buku, buku pun tidak ada malah ada juga yang tidak lancar membaca.

Mereka ini yang merunsingkan saya.Tetapi walau apapun, rasanya tentu mereka boleh berbuat sesuatu. Saya doakan kejayaan mereka. Insyaallah!

Thursday, October 30, 2008

CABARAN BANGSA MELAYU TENTANG BAHASA MEREKA

Dalam sehari dua ini semua orang Melayu sama ada secara individu atau melalui badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan lantang menyuarakan rasa kurang senang dan marah kepada Kerajaan Pulau Pinang yang telah meluluskan permohonan Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk menggunakan berbagai bahasa di papan tanda Kawasan Warisan di pulau itu.

Semua yang bersuara, mengutuk Kerajaan Pulau Pinang yang dianggap melanggar Perlembagaan Persekutuan dan engkar kepada titah Raja-Raja danYang DiPertuan Agong agar Bahasa Melayu dipertahankan sebagai Bahasa Rasmi Negara. Lagipun baru-baru ini Majlis Raja-Raja telah mengeluarkan nasihat supaya semua pihak tidak memperetikaikan lagi Hak Istimewa Orang-orang Melayu dan kedudukan Bahasa Kebangsaan.

Sekali pandang memang jelas apa keperluannya papan tanda itu ditulis dengan semua bahasa yang ada di negara ini. Dengan satu Bahasa Melayu pun sudah cukup difahami kerana sebagai rakyat yang sudah mengaku sebagai rakyat Malaysia dan sudah 51 tahun merdeka, sudah pasti Bahasa Melayu sudah menjadi Bahasa Perhubungan antara kaum.

Tetapi orang-orang Melayu tidak sedar sebenarnya orang Melayu sendiri tidak menghormati Bahasa Kebangsaan itu. Mereka dengan didahului para pemimpin negara berasa malu menggunakan bahasa tersebut walaupun di khalayak bangsa Melayu sendiri. Dalam sidang-sidang akhbar atau dalam ucapan-ucapan yang dihadiri oeh orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia lainnya, para pemimpin lebih cenderung menggunakan Bahasa Inggeris.

Hari ini mereka bercakap tentang komitmen kerajaan mahu memartabatkan Bahasa Kebangsaan, esoknya pemimpin yang sama dengan ghairah bercakap Inggeris di khalayak wartawan Malaysia sendiri. Bukankah ini satu hal yang pelik? ‘Cakap berdegar-degar, ekor bergelumang tahi’ atau ‘cakap tak serupa bikin’.

Hampir setiap hari kita mendengar Menteri-menteri berucap dengan Bahasa Inggeris. Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah sering mengadakan sidang media dalam Bahasa Inggeris. Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib pun serupa. Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin sendiri yang bercakap tentang hendak memartabatkan Bahasa Kebangsaan juga ghairah sekali mengunakan Bahaa Inggeris. Beberapa menteri yang lain juga melakukan perkara yang sama.

Jadi buat apa kita hendak sibuk-sibuk dan marah-marah bila Kerajaan Pulau Pinang tidak menghormati Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Melayu? Bangsa Melayu sendiri tidak suka menggunakannya, apatah lagi kaum lain. Kita malu dengan bahasa itu, kita memaksa orang lain menghormatinya.

Kalau kita mahu bahasa kita dihormati dan disanjung, kita terlebih dahulu melakukannya. Kita martabatkan Bahasa Melayu pada kedudukan yang sepatutnya dahulu. Kita jangan malu menggunakan Bahasa Melayu dalam apa juga situasi atau forum. Lama-lama orang akan faham bila kita serius dengan komitmen kita.

PENGHINAAN TERHADAP GURU

Saya terpanggil untuk turut sama mengulas tulisan saudara Megat Edli Faizal bin Abdul Halim yang disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Melaysia keluaran 30 Oktober 2008 yang saya rasa adalah satu penghinaan kepada kaum guru. Tidak sepatutnya beliau membuat ulasan sebegitu seolah-olah guru bukan sebahagian dari anggota masyarakat yang harus hormati.

Saudara Megat mungkin sudah lupa bahawa anda berada hari ini, walau apa pun anda, manusia guru itulah yang membuat anda mengenali ABC dan 123. Bukan manusia seperti contoh-contoh yang anda bandingkan dengan guru itu iaitu jururawat, tentera dan pekerja swasta. Mereka juga ada elaun-elaun tertentu yang tidak payah saya sebutkan.

Penyair terkenal Usman Awang pernah menulis sajak tentang guru yang cukup puitis bukan sekadar untuk meraikan Hari Guru tetapi memberi kita kesedaran tentang dari mana asal usul kita sehingga berjaya memiliki dan mengenali ilmu pengetahuan. Kita tidak dilahirkan untuk terus pandai dalam serba serbi.

Perhatikan sebahagian puisi tersebut yang ditulis oleh Usman Awang alam tahun 1979:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam yang menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Kita jangan terlalu angkuh dengan diri kita sehingga kita sanggup menghina orang lain tanpa terlebih dahulu mengetahui perkara yang sebenar. Jangan menulis tentang perkara yang kita tidak tahu. Jangan mengulas tentang perkara yang kita hanya tahu dan maklum dari cakap-dengar sahaja.

Guru DG29 yang anda ulaskan itu sebenarnya menyambung pelajaran peringkat ijazah di universiti, meninggalkan keluarga dan anak-anak dan meninggalkan ‘senioriti’ mereka dalam profesion guru selama sekurang-kurangnya 3 tahun dan selama 3 tahun itu mereka menerima separuh gaji tanpa kenaikan tahunan seperti orang lain.

Apabila guru ini tamat belajar, gaji mereka hanya meningkat sekitar RM20.00 dari jumlah yang mereka tinggalkan 3 tahun yang lalu sedangkan rakan mereka yang tidak menyambung pengajian di universiti telah jauh meninggalkan mereka dengan jumlah antara RM400.00 hingga RM700.00 apabila dinaikkan ke DG32. Padahal mereka sama-sama mula bertugas dahulu.

Guru juga adalah manusia biasa. Tentulah rasa tidak puas hati akan timbul melihat ketidak-adilan yang tercipta kerana mereka melanjutkan pelajaran bagi meningkatkan profesionalisma mereka.

Buat apa hendak bandingkan tugas guru dengan lain-lain perjawatan kerana tentunya tidak sama tugas mereka. Walaupun guru berkerja separuh hari tetapi siapa tahu kerja mereka memeriksa buku latihan murid hingga jauh malam? Siapa peduli mereka bersengkang mata menyediakan soalan-soalan untuk peperiksaan dan juga ujian?

Bangun pagi orang sudah memanggil cikgu. Di sekolah orang memanggil cikgu. Jumpa di pasar orang menegur cikgu. Jumpalah di mana dan bila pun, orang masih menegur dengan perkataan yang sama, CIKGU! Malah selepas bersara pun masyarakat masih menegur sebagai cikgu.

Bila anak-anak gagal dalam peperiksaan, semua menuding jari kepada guru. Jabatan pelajaran sendiri turut menyalahkan guru. Bila anak-anak berjaya cemerlang, semua waris dan pelajar memuji kelas-kelas tuisyen yang berbayar. Usaha murni guru tidak ada siapa yang menyebutnya termasuk pelajar-pelajar itu sendiri. Sebab itu guru disebut umpama lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain.

Saya bukan guru tetapi saya amat mengingati setiap guru yang pernah mendidik saya sejak saya kecil hingga dewasa. Saya sudah mempunyai cucu yang bersekolah, tetapi saya tetap tidak lupa nama guru-guru saya di sekolah rendah dan menengah dahulu.

Jadi lebih baik jangan mengulas perkara-perkara yang kita tidak tahu. Kita akan menjadi lebih hina dari orang yang kita beri penghinaan!

Wednesday, October 29, 2008

BAHASA: KITA DICABAR LAGI.

Akhir-akhir ini DAP begitu ghairah untuk menggunakan bahasa-bahasa lain di papan-papan tanda kawasan dan jalan-jalan di negeri-negeri yang mereka kuasai. Di Pulau Pinang Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang ditunjangi DAP telah meluluskan permohonan PBT untuk berbuat demikian. Hal yang sama nampaknya berlaku di Selangor, negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat yang ditunjangi DAP juga.

DAP usah berdalih lagi tentang perkara yang dunia pun sudah tahu. Memang sejak dulu lagi mereka memperjuangkan perkara ini. PAS dan Keadilan Rakyat yang sama-sama berada dalam kerajaan-kerajaan tersebut hanya berdiam diri, menikus kerana takut menerima ledakan kemarahan DAP. Satu hari nanti Perak juga mungkin akan menerima tempiasnya.

Sejak mula diperjuangkan DAP melalui Malaysian Malaysianya, perkara bahasa ini memang menjadi fokus mereka dengan misi mengekalkan bahasa ibunda kaum Cina. Berbagai cara dilakukan termasuk menentang penubuhan Negara Islam dan Sekolah Wawasan. Ini semua adalah berkaitan dengan Bahasa Cina yang diperjuangkan.

Rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat sedar tentang perkara ini tetapi tidak boleh berbuat apa-apa. Semua komen yang diberikan oleh pemimpin Melayu dal;am Pakatan Rakyat sama sahaja, menerima tindak-tanduk DAP ini sebagai agenda mereka bersama.

Apa rasional mahu mengubah papantanda ini kepada berbagai bahasa? Ada orang tidak faham Bahasa Melayu? Sesudah merdeka selama 51 tahun dan sudah menjadi rakyat Malaysia yang tulen, masih tidak faham nama-nama jalan dalam Bahasa Malaysia?

Nampaknya usaha ini sengaja hendak mencabar orang-orang Melayu. Para pemimpin Melayu tidak dapat berbuat apa-apa kerana mahu menjaga hati rakan dalam parti. Begitulah sikap manusia Melayu. Takut hilang kuasa, biar orang memijak kepala.

Tetapi saya sebagai rakyat Melayu sangat merasa tercabar!

Akhirnya kita sendiri tahu, para pemimpin Melayu sama ada dalam parti kerajaan atau dalam parti pembangkang, semuanya tidak menyimpan rasa cinta kepada bahasa mereka sendiri. Mereka malu menggunakan Bahasa Malaysia. Saban waktu mereka bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Baru minggu lepas, Datuk Seri Hishamuddin, Menteri Pelajaran Malaysia bercakap mengenai komitmen hendak memartabatkan Bahasa Kebangsaan selaras dengan statusnya sebagai Bahasa Rasmi negara, hari ini beliau dilihat bercakap Inggeris dalam wawancara dengan wartawan Malaysia sendiri.

Patutlah susah sangat hendak memansuhkan PPSMI kerana orang politik sendiri lebih cintakan Bahasa Inggeris daripada Bahasa Kebangsaan. Dan sedikitpun mereka tidak merasa tercabar dengan tindakan kerajaan Pulau Pinang itu.

MAT GLAMOUR BUAT HAL LAGI

Tentu kita semua masih ingat tentang seorang budak berusia 14 tahun yang terpaksa berhenti sekolah untuk menyara adik-adiknya seramai 8 orang. Pasti kita belum lupa kepada kisah yang kononnya ‘menyayat hati’ dan tidak mendapat simpati dari masyarakat setempat di Titi Bakong, Yan, Kedah yang mula tersiar pada 6 September 2008 yang lalu.

Kini sudah lebih sebulan berlalu dan kehidupan Mat Glamour atau Mohd. Norsharul Amri bin Anuar telah berubah sama sekali. Wang dan sumbangan mencurah-curah datang dari berbagai pihak membuat Mat menjadi seorang ‘hartawan’ sekarang. Ibunya dan adik-adiknya tidak susah lagi. Apa yang dikehendaki semuanya dapat dibeli dengan wang yang puluhan ribu dalam akaun.

Hendak memiliki handset, sudah ada handset, malah yang berjenama pula. Begitu juga ibunya dan adik-adiknya, mempunyai handset seorang satu. Ibunya sudah beberapa kali ‘rebounding’ rambut dan ke sana ke mari dengan jeans dan berbaju T ketat dengan tanpa tudung sebagaimana yang dipakainya se,masa orang datang melawat dahulu. Rantai leher dan gelang tangan yang tidak terkira lagi hebatnya.

Terima kasih kepada para dermawan yang telah mengubah kehidupan Mat sehingga melebihi kawan-kawannya yang dulu senang sedikit darinya.

Tetapi Mat dan adiknya hanya berubah tentang gaya hidup tetapi masih tetap dengan keadaan yang sama dari segi persekolahan. Mat dan Mastuti Norsiti Atika tetap juga tidak ke sekolah seperti yang diharapkan. Dalam seminggu kadang-kadang Mat tidak pergi langsung. Adiknya juga menurut jejaknya.

Setiap hari boleh dilihat Mat dengan basikalnya, merayau-rayau di Titi Bakong dan pekan Yan. Kadang-kadang sangat ia pergi ke sekolah, Banyak menghabisan masa di rumah dan berbasikal ke kampung-kampung bersama kawan-kawan yang juga tidak ke sekolah.

Mingghu ini mungkin Mat akan ke sekolah sebab ada Peperiksaan Akhir Tahun. Tapi apa yang hendak dijawabnya? Macam mana hendak menjawab kalau tidak datang belajar.

Sebenarnya dari dulu Mat tidak ke sekolah bukan kerana tidak ada wang. Bukan kerana miskin. Bukan juga kerana hendak menjadi kelindan lori menyara adik-adiknya. Dia memang tidak mahu bersekolah. Berilah berapa banyak wang sekalipun, sikapnya tetap tidak berubah.

Sia-sialah sumbangan yang diberikan oleh berbagai pihak kepada keluarga Mat supaya Mat dan adik-adiknya tidak ada masalah hendak ke sekolah. Malangnya Mat dan keluarganya tidak berubah sama sekali.

Sebenarnya Mat berkehendakkan pakar motivasi supaya boleh mengubah sikapnya itu. Itulah yang Mat dan keluarganya perlukan, bukannya harta. Selagi sikap Mat tidak berubah, banyak mana wang pun tidak akan berjaya membawanya ke sekolah semula..

Sebelum ini pun pihak sekolah telah memberi macam-macam bantuan kepada Mat. Bantuan wang KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) turut diberikan lama sebelum berita tentangnya heboh dahulu. Selain itu, biasiswa juga turut diberikan kepadanya walaupun adiknya juga telah mendapat biasiswa tersebut.

Bayangkan apa akan jadi kepada Mat setahun lagi? Tahun hadapan dia akan menduduki PMR. Pihak sekolah tidak dapat berbuat apa-apa sebab dia tidak hadir ke sekolah untuk mengikuti program-program peningkatan akademik yang dianjur oleh pihak sekolah.

Sama-samalah berdoa untuk kejayaan Mat.

Monday, October 27, 2008

SEPATUTNYA..........

SEPATUTNYA…………

Sepatutnya Rafidah menarik diri awal-awal lagi. Buat apa memegang jawatan Ketua Wanita hanya untuk 3 bulan sahaja? Buat menyusahkan orang lain. Jun nanti barulah jawatan itu kosong dan dipangku Sharizat untuk dua setengah tahun pula.

Untuk 3 bulan sahaja. Buat apa? Apa agenda Rafidah memegang jawatan selama tempoh itu yang dianggap ramai hanya membuang masa dan menyusahkan pergerakan tersebut?

Apa sebenarnya yang hendak dilihat oleh Rafidah?

SEPATUTNYA…

Sepatutnya Datuk Seri Abdullah tidak menangguhkan pemilihan hingga Mac. Lebih baik teruskan juga pada bulan Disember ini. Masa yang ada terlalu panjang untuk berkempen. Apa agenda Abdullah yang mahu masa 3 bulan juga untuk melanjutkan pelan peralihan kuasa?

Ruang yang terlalu luas dan panjang ini akan menjadi gelanggang kempen yang tidak sihat. Fitnah dan tohmahan akan menjadi-jadi. Pertandingan akan menjadi tidak adil lagi. Dalam masa 3 bulan, sempatkah Abdullah melaksanakan semua perkara yang disebutkan yang gagal dilakukan dalam masa bertahun-tahun?

Apa tujuan Abdullah membuka gelanggang dalam tempoh yang cukup panjang ini?

SEPATUTNYA…………..

Sepatutnya Muhamaad Mat Taib dan Mohd Ali Rustam tidak memasuki gelanggang Timbalan Presiden. Biar Muhyiddin Yasin menang tanpa bertanding. Dari rekod yang ada selama ini, Muhammad hanya membuang masa. Orang masih tidak lupa kes RM2 juta yang ditahan di Australia beberapa tahun lalu. Orang yang main-main dengan wang jutaan ringgit mahu menjadi TPM?

Mohd. Ali juga tidak layak menduduki jawatan tersebut. Penganugerahan ‘Datuk’ kepada Shah Rukh Khan dilihat seperti bukan orang yang cerdik. Biar apa pun alasan yang diberikan, orang melihat faktor tersebut menjejaskan kredibiliti dirinya.

Tidakkah kedua-dua calon ini membuang masa sahaja?

SEPATUTNYA…………..

Sepatutnya Khairi Jamaluddin dan Khir Toyo lupakan sahaja Jawatan Ketua Pemuda. Tidak perlu bertanding menentang Mukrij. Sokongan terhadap Mukrij dilihat amat kental berdasarkan pencalonan terhadap beliau. Kebangkitan beliau tidak dapat dihalang lagi.

Walaupun Khairi adalah Timbalan Ketua Pemuda, sokongan terhadapnya dilihat tidak menggambarkan reputasinya sebagai penyandang jawatan itu dan juga sebagai menantu Perdana Menteri.

Khir Toyo juga ‘nyawa-nyawa ikan’ macam Khairi juga menanti pencalonan terhadapnya melepasi kouta untuk layak bertanding. Ini sudah jelas menggambarkan keputusan di akhir pertandingan nanti.

Kedua-dua Khairi dan Khir Toyo juga membuang masa sahaja?

TETAPI………………..

Tetapi semua tidak menjadi seperti yang sepatutnya, Rafidah tetap berdegil walaupun pencalonan terhadap Sharizat membawa mesej supaya beliau berfikir sekali lagi. Beliau mahu bersara dengan meletak jawatan bukan bersara kerana tidak berani berjuang.

Abdullah tetap dengan misi mustahilnya untuk memulihkan calar dalam system perundangan serta memerangi rasuah yang gagal dilaksanakan bertahun-tahun, hanya dalam masa beberapa bulan usia jawatannya yang masih tinggal.

Muhamad Mat Taib dan Mohd Ali Rustam tetap dengan ketegasan masing-masing walaupun dilihat melepasi kouta pencalonan dengan amat payah. Mohd Ali berharap peminat-peminat Shah Rukh Khan akan memberi sokongan padu. Tetapi bukan semua peminat cerita Hindi ada dalam UMNO. Dan Muhammad Mat Taib berpegang kepada prinsip bahawa beliau tidak bersalah dalam kes wang RM2 juta itu kerana mahkamah dapati beliau tidak bersalah walaupun betul beliau membawa wang tesebut.

Khairi hanya mahu menjaga reputasinya sebagai menantu Perdana Menteri dan penyandang jawatan itu. Manakala Khir Toyo hanya berharap golongan belia yang selama ini dipimpinnya akan membantu kejayaannya.

Sunday, October 26, 2008

BAHASA KEBANGSAAN: CAKAP TAK SERUPA BIKIN!

Dua hari lepas Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein membuka semula polemik tentang bahasa yang sudah bosan didengar. Bosan bukan kerana tidak mahu berbincang tentang Bahasa Kebangsaan itu, tetapi bosan kerana bunyinya seperti ‘cakap tak serupa bikin’. Lain yang dicakapkan, lain pula tindakan yang dibuat oleh kerajaan.

Kita telah melancarkan gelombang baru gerakan memperkasakan Bahasa Kebangsaan ketika Datuk Seri Hishamuddin merasmikan sambutan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2006. Selepas itu ia tidak berkesinambungan hinggalah sekarang. Telah dua tahun berlalu, bukan setakat bahasa itu tenggelam punca, DBP sendiri turut menerima tempiasnya.

Lunak dan sedap sekali kata-kata Menteri Pelajaran Malaysia hari ini bila menyatakan bahawa kerajaan akan terus komited memperkasakan Bahasa Kebangsaan sebagai asas perpaduan dan menjadi Bahasa Ilmu di negara ini, khasnya melalui pendidikan. Betulkah perkara ini? Adakah beliau faham apa maksud komited yang beliau katakan?

Itulah yang bermain-main di fikiran saya. Komited yang macam mana yang Datuk Seri Hishamuddin maksudkan? Kalau diteliti Kamus Dewan yang dikeluarkan DBP, komited bermaksud mempunyai komitmen iaitu bersikap memberi sepenuh tenaga dan perhatian kepada sesuatu.

Maknanya, jika komited terhadap memperkasakan Bahasa Kebangsaan, tentulah kerajaan memberi komitmen sepenuhnya terhadap bahasa itu. Itulah yang saya faham.

Saya amat bersetuju dengan penjelasan bapa Menteri tersebut mengenai Bahasa Kebangsaan. Menurut DS Hishamuddin, memperkasakan Bahasa Kebangsaan adalah fokus pertama dalam pembinaan dan pembentukan negara bangsa bersandarkan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Rasmi negara. Dan beliau yakin agenda ini akan dapat dilaksanakan dalam RMK9 dengan pembabitan semua pihak.

Pihak mana yang Menteri Pelajaran maksudkan?

Bagi sebahagian rakyat, tidak ada masalah. Bahasa Kebangsaan tetap diutamakan dalam aktiviti harian masing-masing. Cuma sekumpulan rakyat yang masih berdegil terutama dari kaum-kaum selain kaum Melayu yang lebih selesa menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Malah ada segolongan pula sangat ghairah mahu menggunakan bahasa ibunda mereka di papan-papan tanda dengan alasan yang berbagai-bagai.

Jelas sekali rakyat jadi keliru dengan dasar kerajaan mengenai bahasa ini. Rakyat tidak pasti apa yang patut diambil tindakan ke arah memperkasakan Bahasa Kebangsaan kerana tidak ada program khusus ke arah itu dan juga kalau ada, ianya tidak berterusan.

Di Selangor dan Pulau Pinang yang tampuk pemerintahan dikuasai oleh DAP dan PKR, telah mengorak langkah ke arah tidak menghormati usaha ini. Papan-papan tanda jalan dan kawasan telah dipelbagaibahasakan. Kerajaan hanya boleh melarang tetapi tidak berusaha dan tidak berupaya menyekatnya.

Pihak pemimpin negara sendiri tidak berminat memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Menteri-menteri dan pemimpin berbagai peringkat lebih ghairah bertutur menggunakan Bahasa Iggeris dalam majlis-majlis walaupun khalayak yang hadir adalah rakyat Malaysia berbangsa Melayu. Keengganan mereka menggunakan Bahasa Kebangsaan dilihat menyumbang ke arah melemahkan Bahasa Melayu sendiri.

Kalaulah pihak kerajaan sendiri menunjukkan kesungguhan, saya percaya semua rakyat akan memberi kerjasama ke arah memartabatkan Bahasa Kebangsaan ini. Pihak Menteri-menteri sendiri patut melaksanakan tanggungjawab ke arah itu terlebih dahulu sebelum meminta rakyat berbuat perkara yang sama.

Hampir setiap hari saya melihat Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan menteri-menteri lain termasuk Datuk Seri Hishamuddin sendiri lebih selesa bertutur dalam Bahasa Inggeris daripada Bahasa Melayu.

Jangan terperanjat jika satu hari Bahasa Melayu akan lenyap atau sudah tidak setara dengan bahasa-bahasa yang lain. Puncanya para pemimpin sendiri yang cakap sahaja berdegar-degar untuk memperkasakan Bahasa Kebangsaan tetapi malu menggunakannya. Kata orang ‘kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.

Cakap tak serupa bikin!


Saturday, October 25, 2008

POLITIK DAN WANG

Politik dan wang memang tidak dapat dipisahkan. Bagai irama dan lagu, bagai laut dan pantai, bagai matahari dan bulan. Wang adalah hasil berpolitik dan politik pasti memerlukan wang.

Dari politik, kita beroleh kuasa dan kuasa boleh memberi wang. Itulah hakikatnya dan hakikat ini tidak dapat disangkal oleh sesiapa. Percayalah, selagi bernama manusia, sedikit sebanyak tetap berfokus kepada wang apabila memegang kuasa.

Saya telah ‘melihat’ UMNO menggunakan wang dalam politik sejak usia saya awal duapuluhan dahulu ketika Datuk Senu Abdul Rahman bertanding dalam Pilihanraya Kecil kerusi Parlimen Kuala Kedah menggantikan Tunku Abdul Rahman yang bersara. Ketika itu wang telahpun digunakan untuk berkempen. Saya tidak pasti jumlahnya tetapi saya pernah lihat sendiri wang tersusun dalam ‘briefcase’ di bawa oleh seorang pemimpin dari Sabah pada waktu itu. Kata beliau, untuk kempen!

Tetapi wang itu tidak habis dibelanjakan dan Bendahari Bilik Gerakan tersebut telah memulangkannya semula kepada pihak yang menghantar wang tersebut. Ketika itu baru saya tahu rupanya wang amat penting semasa berkempen. Sampai ke hari ini saya tertanya-tanya kenapa wang tersebut tidak dihabiskan saja. Bendahari tersebut memang sangat amanah.

Rupanya riwayat ‘wang kempen’ ini masih hidup hingga ke hari ini tetapi lebih parah lagi. Kalau dulu wang digunakan untuk kempen pilihanraya, sekarang digunakan untuk memilih pemimpin parti sahaja. Malah di peringkat Bahagian juga wang digunakan. Begitu gairah hendak menjadi pemimpin.

Sudah tentu tanpa wang, seorang pemimpin tidak akan dikenali. Untuk dikenali atau untuk ‘glamour’, wang mesti digunakan. Dalam apa jua bidang, sogokan telah menjadi lumrah. Perkara yang semua orang tahu. Cuma antara banyak atau sedikit, antara secara kecil-kecilan atau berleluasa. Itu saja bezanya.

Semua orang berlumba-lumba mahu menjadi pemimpin. Tidak seperti zaman Tunku menjadi politikus dahulu. Ketika itu ada orang melarikan diri dari mesyuarat jika namanya dicalonkan untuk menjadi pemimpin. Orang tidak mahu dirinya dilantik pada ketika itu kerana apabila menjadi pemimpin, alamat habislah harta mereka. Kuasa tidak sebanyak manapun tapi harta habis dibelanjakan untuk rakyat.

Kuasa tidak boleh menjamin kekayaan ketika itu. Jadi semua orang menolak apabila hendak dicalonkan sebagai ketua atau pemimpin. Setakat jadi pak turut bolehlah.

Ini amat berbeza dengan keadaan sekarang. Semua orang berlumba-lumba untuk menjadi calon. Bermacam-macam cara dilakukan termasuk menggunakan wang dan juga sumber wang yang lain. ‘Kalau anda pilih saya, saya beri sedikit wang’. Begitulah lebih kurang. Ataupun, ‘ Kalau beri sedikit imbuhan, saya pilih kamu nanti’.

Untuk menjadi pemimpin, orang sanggup berhabis banyak manapun sebab pulangannya lebih lumayan. Dapat menjadi Ketua atau Jawatankuasa Bahagian sahaja sudah menjanjikan pulangan. Apatah lagi berjaya menjadi pemimpin di peringkat Pusat, tentu lebih daripada itu. Tidak hairanlah gejala ini tidak dapat dibendung dan dihapuskan. Orang yang mengkritik tentang politik wang belum tentu tidak terlibat dengan gejala ini. Belum tentu.

Susah hendak dipastikan tetapi ia memang ada!

Thursday, October 23, 2008

HINDRAF: PERTUBUHAN HARAM ATAU SEKADAR DIHARAMKAN?

Mungkin saya bodoh. Mungkin saya kurang ilmu atau mungkin saya terlalu benak sehingga gagal memahami maksud ‘Pertubuhan Haram’. Lebih baik kita melihat Kamus Dewan bagi mengetahui difinisinya yang sebenar.

Mengikut Kamus Dewan, pertubuhan membawa maksud badan yang ditubuhkan untuk mengerjakan sesuatu, lembaga, organisasi atau persatuan. Manakala perkataanharam pula membawa maksud sebagai ditegah (terlarang) oleh undang-undang, tidak sah (di sisi undang-undang). Perkara ini terdapat di mukasurat 513 dan 1721 Kamus Dewan Edisi Keempat keluaran tahun 2005.

Jadi sudah jelas bahawa Hindraf adalah satu pertubuhan atau satu badan yang haram dan salah di sisi undang-undang negara. Semuanya telah jelas dan nyata. Tetapi nasib Hindraf ini cukup baik jika dibandingkan dengan pertubuhan haram yang lain termasuk Arqam, KMM, Al-Maunnah dan kumpulan ajaran sesat Ayah Pin. Sehingga kini pengikut-pengikut kumpuan-kumpulan tersebut diburu kerajaan sehingga ke akar umbinya. Berapa lama Abuya bersembunyi dulu sebelum ditahan.

Rufaqa, sebuah koperasi yang tidak ada kena mengena dengan ajaran Arqam turut menerima nasib yang sama padahal ia hanya sebuah koperasi yang kebetulan ditubuhkan oleh bekas ahli Arqam dan berpakaian seperti Al-Arqam. Nasib Rufaqa turut menjadi seperti induknya, diharamkan sehingga terbantut aktiviti-aktiviti perniagaan mereka.

Al-Maunnah dan KMM terus lenyap menjadi sejarah bila ahli-ahli kumpulan ini ditangkap dan dibicarakan. Beberapa ahli Al-Maunnah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati.

Ayah Pin sampai hari ini tidak berani muncul di khalayak ramai sejak ajarannya diharamkan dan beliau sendiri diburu bersama-sama pengikut-pengikutnya. Kumpulan yang percaya dan yakin dengan Kerajaan Langit satu ketika dulu sehingga kini tidak berani menunjukkan identiti selepas diisytiharkan haram.

Nasib Hindraf dilihat tidak menerima nasib yang sama walaupun telah dinoktahkan sebagai pertubuhan haram. Anggota dan ahli-ahlinya boleh berkumpul secara bebas di Parlimen, memakai pakaian seragam mereka dengan penuh bangga. Malah wakil penyokong Hindraf, K. S. Thanenthiran boleh dengan bebas mengeluarkan desakan agar kerajaan mengaktifkan semula passport antarabangsa milik Pengerusi Hindraf, Whytha Moorthy yang sekarang berada di London. Beliau lari dari Kuala Lumpur sejak Disember 2007 hingga sekarang.

Apa maknanya semua ini? Siapa K. S. Thanenthiran di mata Dato’ Seri Syed Hamid dan kerajaan? Adakah beliau wujud sebagai wakil pertubuhan haram itu atau sebagai individu lain? Tapi melihat baju-T oren itu orang sudah tahu itulah Hindraf. Penguatkuasaankah yang lemah atau memang Hindraf diberi muka?. Kalau diikutkan dari kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebaik sahaja Hindraf diumum sebagai Pertubuhan Haram, rasanya Hindraf hanyalah tinggal namanya sahaja.

Kalau diteliti apa yang Hindraf telah buat, sama sahaja dengan pertubuhan-pertubuhan tadi iaitu menggugat keselamatan negara. Dan yang penting Hindraf ini menyebarkan sentimen perkauman yang tinggi yang amat membahayakan keharmonian negara.

Atau Hindraf ini hanyalah sekadar diharamkan sahaja tetapi masih tidak menjadi pertubuhan haram seperti kes-kes yang lain yang disebutkan tadi.

Barangkali kita terlalu bodoh untuk memahami semua ini.

POLITIKUS PALING KAYA DI MALAYSIA

Jika trend saman menyaman oleh ahli-ahli politik di negara ini menjadi kenyataan, dalam sedikit waktu lagi seorang Ahli Parlimen DAP akan mencatat rekod politikus paling kaya di Malaysia. Belum ada lagi mana-mana ahli politik atau individu yang terlibat dengan politik boleh menjadi jutawan dalam masa singkat, kecuali Theresa Kok. Itupun bergantung kepada tuahnya.

Sudahlah menjadi Ahli Parlimen ketika BN sedang bercelaru, dapat pula menjadi anggota Dewan Undangan Negeri Selangor. Kemudian dilantik pula menjadi EXCO. Dan kalau Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan, sudah pasti Theresa menjadi Menteri Undang-undang.

Rezeki beliau mencurah-curah ketika politikus lain masih tercari-cari identiti selepas memenangi PRU12 secara tidak disangka-sangka.

Hari ini Theresa menbuat tuntutan sebanyak RM10 juta daripada Dr Mohd Khir Toyo, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor. Beliau dengan diwakili peguan S. N. Nair & Partners menyerahkan surat tuntutan tersebut kepada Dr. Khir dengan memberi tempoh 7 hari.

Tuntutan ini berikutan dengan sebuah artikel dalam Laman Blog Dr Khir yang mengaitkan Theresa dengan petisyen azan menggunakan pembesar suara di masjid-masjid dan surau-surau di kawasan beliau (Theresa). Menurut tuntutan tersebut, artikel Dr Khir itu telah mnjejaskan reputasi beliau sebagai Wakil Rakyat dan juga EXCO kerajaan Selangor.

Sebelum ini Theresa juga telah menyaman Utusan Malaysia sebanyak RM30 juta kerana kononnya akhbar tersohor itu tersalah lapor. Jika kedua-dua tuntutan ini berjaya, beliau bakal menjadi politikus paling kaya di Malaysia dan memperolehinya dalam masa sekelip mata pula. Di atas kertas, nampak macam itulah.

Hakikatnya belum diketahui. Dr Khir tentu ada ‘backing element’ beliau sendiri. Sebagai ahli politik berpengalaman dan bekas Menteri Besar pula, tentu beliau telah bersedia dengan fakta-fakta yang bakal mempertahankan beliau. Tentulah beliau mempunyai asas yang kukuh semasa menerbitkan artikel tersebut dan berpegang dengan falsafah ‘berani kerana benar takut kerana salah’ dan ‘kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’.

Politik Malaysia menjadi semakin menarik dan orang luar semakin tertawa melihat kerenah politikus Malaysia, bercakaran macam budak-budak.

Walau apapun rasanya soal ini akan berpanjangan. Lambat sedikitlah Theresa hendak menikmati wang RM40 juta itu.

Dan saya mengucapkan tahniah kepada para peguam yang akan berada di hadapan Theresa dan Dr Khir. Nampaknya rezeki anda semua semakin mencurah-curah selepas PRU12 ini. Macam-macam kes berada di dalam ‘briefcase’ anda sekelian dan semuanya memberi pulangan yang lumayan.

Siapa kata Malaysia tidak makmur?

HANYA RAFIDAH SAHAJA YANG TAHU

Sekarang ini tidak ada lain cerita paling sensasi selain cerita pemilihan jawatan dalam kepimpinan UMNO, parti tertua dan terbesar yang dianggotai oleh semua orang Melayu. Semua jawatan bermula dari Presiden hinggalah ke peringkat Majlis Tertinggi, terbuka untuk ditandingi pada Mac 2009 oleh sesiapa sahaja asalkan layak melepasi ‘kouta’ yang ditetapkan.

Dalam banyak-banyak jawatan, Ketua Wanitanya yang memberi ruang untuk diperbincangkan. Sebelum proses menawarkan diri tamat, dilihat ada kompromi antara penyandang jawatan, Tan Seri Rafidah Aziz dengan Datuk Seri Sharizat Jalil. Kedua-dua mereka dikatakan setuju untukmempertahankan jawatan yang sedia disandang sekarang iaitu Ketua Wanita dan Timbalan Ketua Wanita.

Soalnya sekarang scenario telah bertukar dari tiada pertandingan kepada kemungkinan ada pertandingan. Dilihat kepada pencalonan untuk Sharizar sebagai Ketua Wanita, rasanya wanita UMNO sekarang mahu melupakan kompromi yang dianggap tidak ada keuntungannya walaupun dalam kompromi tersebut Rafidah akan menundurkan diri pada Jun 2009 iaitu selepas tiga bulan menerajui Wanita.

Ramai melihat kompromi ini amat membuang masa. Apa guna memegang jawatan hanya untuk tiga bulan kemudian penggantinya akan memangku pula beberapa lama untuk disahkan sebagai ketua apabila ada pertandingan tiga tahun lagi. Barangkali Rafidah juga macam Pak Lah. DS Abdullah juga mahu tiga bulan lagi untuk memegang kuasa yang sepatutnya berakhir Disember ini. Dan Rafidah mahu tiga bulan selepas pemilihan.

Apa yang sebenarnya Rafidah mahu buat dalam tiga bulan itu, hanya dia seorang yang tahu. Walaupun orang lain nampak tidak perlu lagi ditangguh-tangguh hasrat untuk menyerahkan jawatan kepada Sharizat, Rafidah masih mahu masa tiga bulan itu. Untuk apa?

Ini bermakna kalau kompromi ini tetap berjalan, Tidak ada pertandingan untuk jawatan Ketua Wanita Mac ini. Dan peralihan kuasa Wanita UMNO akan hanya berlaku pada Jun 2009. Ketika itu Sharizat dikatakan akan diberi memangku jawatan Ketua Wanita.

Pelan peralihan kuasa inilah dilihat sebagai pelan membuang masa dan tidak masuk akal. Ramai berpendapat leih baik peralihan kuasa itu dibuat sekarang supaya perwakilan boleh mnentukan pengganti Rafidah dalam pemilihan Mac nanti.

Sekarang jalan yang terbuka bagi kumpulan ini adalah mencalonkan Sharizat untuk bertanding jawatan Ketua Wanita dengan misi supaya Sharizat terus memegang jawatan tersebut tanpa perlu menunggu terlalu lama. Kumpulan ini berpendapat, sampailah masanya Wanita mendapat Ketua yang baru setelah sekian lama berada di bawah Rafidah.

Sekarang Sharizat sudahpun layak untuk bertanding. Pencalonan beliau telah melebii kouta kelayakan. Yang menghalang beliau ialah sifat rasa hormat kepada ketuanya. Terpulang kepada beliau untuk membuat keputusan. Tetapi sebagai pencinta perjuangan beliau patut menerima pencalonan tersebut. Jika beliau menerimanya, bermakna konflik akan terjadi dalam Pergerakan Wanita kecuali Rafidah menarik diri mulai sekarang, jangan tunggu beliau tidak dipilih nanti..

Saya tetap percaya bahawa Sharizat akan bertanding menentang Rafidah. Bertanding buan sebagai lawan, tetapi sebagai menyahut kehendak wanita yang sebenarnya. Dan jauh di sudut hati tidak ada niat hendak mengkhianati ketua.

Isyarat adalah jelas supaya Rafidah melepaskan sahaja jawatan yang disandang sekarang. Buat apa hendak tunggu hingga bulan Jun nanti. Buang masa sahaja. Lebih baiklah Rafidah berhenti dari diberhentikan.

Hanya Rafidah sahaja yang tahu.

Wednesday, October 22, 2008

ABDULLAH vs MAHATHIR

Sebenarnya amat payah hendak mengadili tentang siapa benar dan siapa salah antara Dato’ Seri Abdullah dan Tun Mahathir. Walaupun tidak minta diadili, tapi bila percakaran ini telah menjadi tontonan umum dan masing-masing mempunyai persepsi masing-masing, tak dapat tidak kita mesti hendak tahu siapa yang berada di pihak yang benar.

Baik YM Tun mahupun DS Abdullah, masing-masing telah cukup dewasa dan setiap mereka mempunyai hak dalam memperkatakan perkara ini menurut agenda masing-masing. Tentu kedua-dua anda mempunyai muslihat tertentu yang gagal dibaca oleh ramai orang.

DS Abdullah bercakap sebagai melaksanakan haknya setelah melihat pandangan Tun yang tidak memihak kepadanya, apatah lagi Tun telah berada di luar UMNO. Setelah berada di luar, Tun beliau lihat telah cuba mencampuri urusan-urusan dalaman parti walaupun orang lain tidak nampak begitu. Cakap-cakap Tun supaya ‘keluarkan orang-orang Abdullah’ semasa pemilihan Mac 2009 nanti menampakkan cubaan Tun mempengaruhi perwakilan nanti.

YM Tun pula melaksanakan hak Tun sebagai individu yang berada di luar dan di landasan demokrasi, bebas memberi pendapat sebagai seorang rakyat yang melihat perkara-perkara yang dirasai perlu diberi pandangan dan nasihat. Kalau orang kampung seperti saya yang berkata begitu, sudah tentu tiada siapa yang peduli. DS Abdullah pun tidak mahu membacanya. Tapi Tun orang ternama dan bekas Perdana Menteri, sudah tentu kesannya lebih daripada sekadar pandangan peribadi.

Kita memang mempunyai hak untuk menyukai dan tidak menyukai mana-mana calon. Cuma apabila ada calon ‘favourite’ mana-mana orang tidak digemari, tentu orang itu bersuara. Itulah yang dilihat oleh DS Abdullah. Beliau tidak salah kerana itu haknya sebagaimana beliau mempunyai hak untuk menuduh Tun sebagai telah memberi arahan-arahan tertentu dengan label ‘Pengarah Pemilihan’.

DS Abdullah bercakap atas kapasitinya sebagai Presiden UMNO, adil baginya untuk membetulkan persepsi umum terhadap calon-calon yang bertanding dalam pemilihan nanti. Baginya, kenapa mesti ada orang luar yang cuba campur-tangan.

Tetapi Tun Mahathir bercakap hanya sebagai seorang rakyat biasa. Tentulah ada agenda Tun Mahathir berbuat demikian selain sebagai isyarat untukmemilih putera beliau, Datuk Mukrij semasa pemilihan Ketua Pemuda nanti. Tetapi oleh kerana beliau adalah mantan Perdana Menteri, cakapnya sangat diambil kira.

Yang saya dan ramai orang lagi merasa pelik, kenapa perkara sebegini harus berlaku kepada dua pemimpin besar negara. Seorang bekas Perdana Menteri dan seorang lagi pula Perdana Menteri. Tidak bolehkah mereka duduk semeja, seorang sebagai penasihat dan seorang lagi sebagai penerima nasihat? Lagipun mereka datang dari ‘karung’ yang sama iaitu UMNO.

Tun Mahathir telah bersara dan sebaik-baiknya orang bersara sekadar menjadi penasihat manakala penggantinya sepatutnya selalu meminta dan menerima nasihat. Tak mungkin semua nasihat tidak berguna dan tidak boleh dipakai? Tetapi ini tidak berlaku seperti di Singapura , pesara PM menjadi Menteri Penasihat. Di Malaysia yang mengganti tidak mahu menerima nasihat atau meminta nasihat dan yang bersara tidak mahu menjadi penasihat malah lebih senang menjadi pengkritik.

Pada pendapat saya adalah lebih baik kita melihat bagaimana berlaku ke atas pokok kelapa. Bagi saya, orang naik pangkat adalah seolah-olah orang panjat pokok kelapa. Sebelum panjat kelapa dia janji macam-macam tetapi bila sudah sampai ke atas dia menjadi gayat dan oleh kerana takut jatuh, ia sentiasa memeluk pokok kelapa tersebut dan lupa segala janjinya.

Orang turun pangkat atau telah bersara pula adalah seperti gugurnya pelepah daun kelapa. Pelepah yang di atas jangan ketawa bila pelepah yang di bawah jatuh ke bumi kerana pelepah yang di atas itu akan menjadi pelepah paling bawah pada suatu hari nanti dan dia akan jatuh juga.

Maknanya tidak ada siapa yang kekal.

Monday, October 20, 2008

KENAPA SEMUA INI TERJADI KEPADA BANGSAKU?

Tahukah?
Setiap hari sama sahaja
Bangsaku disaji dengan gula-gula yang itu juga
Anwar dengan misi gila
Abdullah dengan tradisi membabi buta
Mahathir dengan serangan tidak sepatutnya
Haji Hadi dengan senjata bernama agama
sehingga bangsaku hampir celaka
negaraku hampir porak-peranda
dalam mencari kebenaran.

Anwar dengan misi gilanya
gila nama
gila Seri Perdana
gila kuasa
ambilalih Putrajaya.

Abdullah dengan tradisi membabi buta
mahu peralihan kuasa tetapi mengambil masa
biar negara huru-hara
biar politik jadi caca-merba
akhirnya negara dijajah semula.

Mahathir ,
Kenapa dahulu tidak lakukan?
Kenapa sekarang semua serba tidak betul?
Mahathirkah yang semua betul?
Serangan dari segenap penjuru
soal pemilihan kenapa masih mahu ambil tahu?
Kenapa berhenti dahulu?

Haji Hadi membawa misi agama
dahulu tidak suka selain Islam
manusia Islam pun dikata kafir
sekarang boleh berpeluk dengan siapa sahaja
asalkan dapat mengecap benda yang sama
semuanya berteraskan kuasa.

Bukankah lebih baik duduk semeja
berbincang tentang nasib bangsa
berbincang tentang halatuju negara
buang yang keruh
ambil hanya yang jernih.

Kenapa semua ini
terjadi kepada bangsaku
bernama Melayu?

PERANGAI ORANG-ORANG PENCEN

Apabila Dato’ Seri Abdullah membidas Tun Mahathir semalam tentang tindak-tanduk Tun yang kelihatan seperti mencampuri urusan pemilihan jawatan dalam UMNO pada Mac 2009 nanti, saya teringat beberapa kisah orang-orang yang telah bersara atau dengan bahasa yang biasa digunakan iaitu dipanggil orang-orang ‘pencen’.

Orang yang sudah bersara adalah orang yang telah lama berkhidmat, Sudah tentulah telah banyak pengalaman yang didapati. Orang-orang ini telah biasa berkerja bertahun-tahun. Sudah tentu minat dan momentum kerja masih lagi sebati dengan jiwa dan aktivitinya.

Kebiasaannya orang-orang yang telah bersara ini sering dilupakan begitu sahaja. Biar apapun pangkatnya sebelum ini, apabila bersara, semuanya tidak berguna lagi. Pangkat dan jawatan sebelum ini tidak membantu diri orang itu berada lagi dalam komuniti kerjanya. Siapa pun tidak ambil peduli. Cuma beberapa orang sahaja penjawat awam yang berjaya menyambung khidmat tetapi dalam bidang yang berlainan. Mereka seharusnya bersyukur kerana tidak menerima nasib seperti pesara-pesara lain.

Tetapi orang yang belum bersara jangan pula lupa bahawa satu hari dia juga akan mengalami nasib yang sama. Dia pun akan bersara juga. Ketika itu barulah dia tahu bagaimana perasaan orang yang bersara. Kita hidup ini umpama 'pelepah daun kelapa'. Pelepah atas jangan ketawa bila pelepah di bawahnya jatuh kerana nanti lama-lama ia pula akan berada di bawah dan akan jatuh ke tanah juga. Jadi masing-masing mesti bersedia untuk berada di bawah.

Setahun yang lalu saya terserempak dengan seorang kawan lama. Beliau telah bersara dari jawatan tinggi di Jabatan Pelajaran Kedah. Ketika membeli makanan di gerai berhampiran Stadium Darulaman, beliau tercari-cari tempat untuk duduk dan makan. Dari jauh saya memanggil beliau untuk duduk di meja saya. Masa itu barulah beliau perasan kehadiran saya.

Kami berbual panjang tentang beberapa perkara dan beliau masih lagi bercerita tentang pejabatnya walaupun telah setahun bersara. Di akhir perbualan, sebelum berpisah, beliau menjabat tangan saya dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana menegur dan mahu berbual dengan beliau.

Selepas itu barulah saya tahu bahawa selepas beliau bersara, tiada siapa yang memperdulikan beliau termasuk kakitangan pejabatnya yang dahulu cukup menghormatinya (atau takut kepadanya?). Tambah pula semasa menjadi ketua dahulu beliau merupakan seorang yang cukup tegas. Tidak ada siapa yang mahu bercakap atau menegurnya selepas beliau bersara.

Lagi satu cerita mengenai orang bersara ini berlaku di tempat saya sendiri. Seorang guru di sebuah sekolah menengah telah bersara wajib setelah bertugas selama 34 tahun. Beliau masih sihat dan cergas. Oleh kerana kebiasaannya beliau bangun pagi dan pergi ke sekolah, bekas guru ini tidak betah duduk di rumah. Beliau akan pergi ke sekolah lamanya setiap hari walaupun hanya untuk berbual sehingga timbul percakapan-percakapan yang kurang enak.

Akhirnya selepas beberapa bulan, beliau dengan sendirinya bosan dengan rutin tersebut dan tidak lagi pergi ke sekolah tersebut. Rupa-rupanya sampai ke satu peringkat pesara-pesara jadi bosan, dan dengan sendirinya dia tidak lagi pergi ‘mengganggu’ orang lain menjalankan tugas.

Seorang bekas Pengetua dari sebuah sekolah menengah yang lain pula dilaporkan sering memberi arahan kepada bekas Penolong Kanannya untuk bertindak itu ini dan begitu begini selepas bersara. Hal ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan guru-guru yang pernah berada di bawahnya dahulu. Dan Penolong Kanan yang memangku tugasnya juga rasa serba-salah untuk tidak mendengar arahan-arahan tersebut sehingga beliau rasa kurang selesa.

Rupanya penyakit ini terkena juga kepada ahli-ahli politik. Tidak hairanlah Dato’ Seri Abdullah marah sangat terhadap Tun Mahathir. Memang akan berlaku gangguan terhadap tugas beliau dan beliau pula mengambil masa yang begitu lama untuk bersuara mengenai perkara ini. Memang Pak Lah amat bersabar. Kalau orang lain rasanya sudah lama mengambil tindakan sedemikian.

Tetapi Dato’ Seri Abdullah harus ingat bahawa kalau dulu Mahathir menjadi pelepah paling bawah, sekarang beliau pula mengambil tempat itu dan kemungkinan akan berulang perkara yang sama. Walaupun beliau dilihat tidak akan mencampuri lagi urusan-urusan parti dan kerajaan, Tun Mahathir dulupun berjanji begitu.

Dan pelepah yang sudah jatuh pula haruslah ingat bahawa memberi nasihat dan mencampuri urusan adalah dua perkara yang tidak sama. Kita boleh memberi nasihat dan panduan tetapi kita tidak boleh memaksa orang menerima nasihat kita. Kita tidak boleh mengganggu urusan kerja orang lain.

Dan yang penting kita, kita sebagai ‘pelepah kelapa yang telah jatuh’ kena ingat bahawa kita masih diperlukan sekurang-kurangnya untuk dibuat ‘kayu api’.

Saturday, October 18, 2008

KEDAHLANIE: SURATKU UNTUKMU

Mulanya saya tidak berminat untuk turut mencampuri urusan Laman Blog KedahLanie kerana tidak ada apa-apa kebaikan kepada saya selain dari membaca beberapa nama gelaran yang diberikan kepada pemimpin-pemimpin negara. Tetapi saya terpanggil juga untuk menyatakan pendirian saya kerana saya lihat Laman ini sudah jauh menyimpang dari menjadi Laman yang memberi ilmu.

Laman Blog anda adalah satu-satunya yang saya nampak mewakili negeri kelahiran saya, Kedah dan juga seolah-olah menjadi lidah rasmi Kerajaan Negeri Kedah sekarang ini. Sudah tentu ianya dilawati oleh ramai orang terutama rakyat negeri Kedah lebih-lebih lagi para penyokong Kerajaan Negeri sekarang. Dan saya tetap berpendapat ia sedang populer sekarang.

Kalau saya yang terlibat dengan Laman ini, saya akan menjaganya dengan baik agar populeritinya tidak terjejas sama sekali. Sayang andainya Laman ini satu hari nanti tidak mahu dilawati lagi kerana orang sudah jengkel dengan maki hamun dan sumpah seranah dengan bahasa yang memang tidak layak diucapkan oleh orang yang waras. Jadi anda harus menjalankan tanggung-jawab untuk terus menjadikan Kedahlanie terus kekal nilainya.

Kita harus bertanggung-jawab dengan apa yang disiarkan dan dengan apa sahaja komen yang diberikan. Kita tidak boleh lepas tangan dengan hanya meletak label, “…..tidak terlibat dengan komen yang diberikan, tanggung-jawab pihak yang memberi komen…”. Jika anda mahu Laman anda ini terus popular dan menjadi kunjungan ramai pelawat, anda kenalah mengambil langkah-langkah tertentu agar komen yang disiarkan adalah di dalam pengetahuan anda.

Kalau setakat maki hamun dan sumpah seranah, boleh jadi orang masih boleh menerimanya sebab ia boleh memberi penilaian tentang nilai moral dan rendahnya mentaliti pemberi komen itu. Begitu juga dengan gelaran-gelaran yang ditujukan kepada mana-mana individu terutama yang duduk di kerusi Kerajaan Persekutuan sekarang.

Macam saya katakan tadi, ia hanya menggambarkan mentaliti dan nilai moral yang rendah golongan pemberi komen yang begitu.

Tetapi bila ia menyentuh tentang institusi Raja-raja dan Sultan, kita perlu memberi perhatian. Isu ini amat sensitif dan ada kaitan dengan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Malah baru 2 hari yang lepas Majlis Raja-raja yang bersidang di Istana Maziah Kuala Terengganu mengeluarkan kenyataan rasmi yang berupa peringatan kepada rakyat mengenai perkara tersebut. Antara lain peringatan tersebut menyebut dan meminta semua orang Melayu bersatu mempertahankan Institusi Raja Melayu tentang kemuliaannya, kuasanya, kebesarannya dan keistimewaannya.

Sesiapa yang tidak mematuhi peringatan ini boleh dianggap melanggar titah Sultan dan seterusnya menghina Raja-raja Melayu.

Ternyata individu yang memberi komen tersebut tidak mematuhi peringatan tersebut dan menghina kedudukan Raja-raja Melayu dan amat memalukan kerana ia tersiar dalam Laman anda yang berteraskan Islam sebagai wadah perjuangan.

Antara hujah beliau yang boleh dikira menghina Raja ialah seperti berikut:

Raja takut dengan UMNO.
PDRM terletak di bawah kuasa Raja.
Raja tidak menjaga kepentingan rakyat.
Raja jangan lagi duduk bersemayam .
Hapuskan institusi Raja Melayu.
Lebih baik sama-sama hancur.

Dan anda harus bertanggungjawab terhadap komen-komen ini kerana anda telah membuka gelanggang. Apabila gelanggang anda digunakan untuk tujuan yang tidak munasabah, masakan anda hendak lepas tangan begitu sahaja.

Saya tidak hairan jika selepas ini, pelawat KedahLanie semakin merosot. Sayang sekali kerana ia menjadi pujaan ramai dewasa ini.

APABILA SULTAN BERTITAH............

Kekalutan politik negara akhir-akhir ini telah mencetuskan pelbagai kontroversi. Lepas satu isu, ada isu lain pula yang timbul membadai keharmonian hidup rakyat negara ini. Isu Hindraf baru saja dapat ditangani, isu ‘kaum pendatang’ pula yang dijolok oleh ahli-ahli politik yang kononnya serba bijak.

Kesemua isu yang ditimbulkan sepanjang 2008 ini berpunca dari sikap tolak ansur kerajaan bagi menyelamatkan maruahnya selepas kekalahan teruk dalam PRU12. selepas pilihanraya itu kerajaan membentu kerajaan dengan majoriti mudah. Walaupun menang tetapi tidak memperoleh dua pertiga.

Dan perkara yang sering dibangkitkan oleh pertubuhan dan individu adalah mengenai perkara-perkara sensitif yang telah termaktub dalam perlembagaan khasnya yang melibatkan orang-orang Melayu dan kedudukan Hak Istimewa Orang-orang Melayu.

Antara yang paling lantang menyentuh perkara-perkara tersebut adalah pertubuhan seperti Majlis Peguam, pertubuhan haram Hindraf, Chua Jui Meng dari MCA ketika melancarkan manifestonya dan Ketua Wanita Gerakan, Tan Lian Hoe yang paling baru. Kesemua mereka menyentuh perkara-perkara tersebut lepas satu, satu pula.

Tanpa disedari, kenyataan-kenyataan mereka telah menimbulkan keresahan di kalangan rakyat majmuk negara ini. Kalau tidak ditangani dengan betul, pasti akan menjadi lebih tegang. Keadaan ini menyebabkan Sultan dan Raja terpaksa mengeluarkan titah sebagai peringatan.

Apabila Sultan dan Raja mengeluarkan titah semalam, rasanya perkara ini dapat dibendung dari menjadi wabak yang parah sebab ia didapati semakin berjangkit. Jadi hormatilah titah raja kita yang diwartakan hasil Mesyuarat Mahjlis Raja-raja di Istana Maziah, Kuala Terengganu baru-baru ini kerana raja simbol perpaduan kita.

Pihak Istana sendiri telah menyatakan bahawa orang yang bercakap tentang isu-isu tersebut adalah orang-orang yang buta sejarah. Jadi usahlah siapa lagi menyentuh tentang Hak-hak Istimewa Orang-orang Melayu kerana ia telah termaktub dalam perlembagaan sebegitu.

Perkara–perkara lain yang diminta jangan disentuh adalah tentang kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Agama Islam sebagai Agama Rasmi dan hak-hak istimewa yang lain. Selain itu baginda semua mahu semua pihak melindungi kepentingan kaum yang lain seperti tercatat dalam Perlembagaan Negara kerana apa yang tersurat ini telah diperhalusi oleh mereka yang terlibat dalam menggubal perlembagaan melalui satu pengorbanan dan tolak ansur yang sangat tinggi.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan hak-hak sah kaum-kaum yang lain. Jadi kaum yang lain tidak perlu risau tentang kedudukan mereka dalam negara ini. Tidak payahlah merusuh dan meminta bantuan asing yang akan menjerumuskan kita ke kancah penjajahan sekali lagi.

Orang-orang Melayu pula diminta oleh Raja-raja supaya bersatu mempertahankan Institusi Raja mengenai keistimewaannya, kedudukannya, kemuliaannya dan juga kebesarannya. Di samping itu orang Melayu hedaklah melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu dan hak sah kaum yang lain.

Untuk itu saya amat kecewa selepas membaca satu komen dalam Laman Blog Kedahlanie hari ini yang jelas menghina raja. Ayat-ayat yang digunakan oleh pembaca yang memberi komen tersebut tidak sepatutnya keluar dari seorang berbansa Melayu dan saya hairan kenapa perkara ini tersiar dalam Satu Laman yang beridentiti ‘Islam’.

Saya petik komen trsebut yang berbunyi, “Kalau dah Menteri bangang, polis bodoh dan institusi yang di atasnya itu (Raja – Sebab polis di bawah Raja) penakut dengan UMNO, rakyat juga yang susah. Rakyat diminta mendaulatkan raja, tapi raja tak hendak jaga rakyat. Apa jadah hendak daulat pula? So, Janganlah duduk bersemayam saja sedang rakyat bersemayat. Kalau sudah macam itu, biar sama-sama hancur, baru padan muka.”

Jadi apabila Sultan bertitah, tidak patut bahasa yang begitu keluar dari mulut manusia Melayu. Tergamak beliau menghina rajanya!

Wednesday, October 15, 2008

MUSLIHAT (2)

Setiap orang ada muslihatnya dan tidak payah hendak nafikan. Nafikan pun orang tak percaya sebaliknya macam-macam andaian dibuat orang. Dan kadang-kadang andaian itu menyakitkan.

Tentulah Datuk Seri Haji Hadi Awang mempunyai muslihatnya tersendiri bila beliau berpeluk dengan saudara Lim Kit Siang semasa menjadi Menteri Besar Terengganu sedikit masa dulu. Semua orang tahu kedua-dua tokoh ini berlainan ideologi. Seorang bercakap tentang Negara Islam, seorang lagi dari parti yang bercakap ‘langkah mayat dulu kalau nak tubuhkan Negara Islam’. Bila kedua-duanya berpelukan, tentulah ada muslihat Tuan Guru dan juga saudara Lim yang orang tak tahu.

Presidern PAS itu tentu mempunyai muslihat bila beralih menyokong dan memuja Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dulunya dihentam PAS kiri-kanan dan depan-belakang. Dulu apa yang PAS tak kata pada Anwar tentang salahlakunya?Hinggakan ada yang mencadangkan Tun Mahathir, Perdana Menteri ketika itu memecat Anwar.

Tanyalah panglima PAS, En. Mohamad Sabu. Beliau tahu banyak tentang perkara ini. Dan beliau menggelarkan Anwar dengan berbagai gelaran semasa berceramah dalam tahun-tahun 90an dulu. Jadi bila PAS sekarang menyanjung Anwar dan Muhamad Sabu pun tak kedengaran lagi, tentulah ada muslihatnya. Muslihat itulah yang orang tidak tahu.

Bila bercakap tentang muslihat, Datuk Seri Anwar mengatasi orang lain jika dibuat perbandingan. Kata orang tak ada Anwar, tak adalah muslihat. Macam satu ketika dulu orang kata, “No Samy no toll.” Anwar pakar dalam mencetus muslihat demi muslihat.

Semasa dalam tahanan dahulu beliau mendakwa diracun dengan arsenik, sakit tengkuk dan berbagai lagi kontroversi lagi. Apa muslihat beliau, dia sendiri yang tahu kerana lepas itu tiada laporan keracunan. Dan tengkuk pun tidak sakit seperti dalam gambar-gambar sebelumnya. Apa muslihatnya?

Dan dalam versi baru ini pula Datuk Seri Anwar memulakan muslihat beliau dengan lari bersembunyi di kediaman Duta Turki pada petang selepas Mohd Saiful Bukhari membuat laporan polis dia diliwat Datuk Seri Anwar. Tiada siapa tahu perkara sebenar tetapi yang nyata malam itu juga kerajaan Amerika sudah memberi nasihat kepada Malaysia untuk berlaku adil kepada Anwar. Dari mana Amerika tahu secepat itu tiada siapa mengerti.

Dan dengar cerita Datuk Seri Anwar mendakwa nyawanya terancam. Ada ugutan bunuh terhadapnya tetapi yangpeliknya esoknya beliau boleh berjalan di samping Dr Wan Azizah dengan hanya tersenyum tanpa takut lagi dengan ancaman keselamatan nyawanya. Apakah muslihat Anwar?

Sehari selepas itu beliau boleh memberi ucapan di hadapan ribuan penyokongnya seperti tahun 1998 dahulu ketika melaungkan ‘refomasi’. Nampak ceria sahaja tanpa takut nyawanya terancam seperti didakwanya sebelum itu.

Seterusnya apa pula muslihat Datuk Seri Anwar bila pada masa yang sama membuat laporan kepada BPR terhadap Tan Sri Musa Hassan danTan Sri Ghani Patail tentang pemalsuan bahan bukti kes beliau 10 tahun yang lalu. Apa muslihat Anwar mengambil masa sepuluh tahun untuk membuat laporan dan dibuat pula selepas Saiful membuat laporan polis terhadapnya?

Sudah tentu beliau mempunyai muslihat. Hanya satu tujuan beliau. Apabila kedua-dua tokoh ini sudah ‘ditambat’, keseluruhan siasatan dan pendakwaan nanti akan terbantut. Datuk Seri Anwar amat bijak memengambil langkah awal agar kedua-dua individu ini tidak dapat campur tangan dalam kes yang beliau hadapi. Dan didapati muslihat ini hampir berjaya.

Pilihanraya Kecil Permatang Pauh juga dilihat mempunyai muslihat tertentu. Sebelum memilih Permatang Pauh menjadi gelanggangnya, beliau mencanangkan beberapa tempat untuk melihat ‘feedback’ dari kawasan-kawasan tersebut. Mula-mula kawasan Tan Seri Khalid Ibrahim disebutnya. Lepas itu Kulim-Bandar Baru pula. BN yang sedikit goyah kelihatan ‘bercempera’ juga.seketika walaupun tak diperlihatkan.

Pemilihan Permatang Pauh dilihat Anwar sebagai bukan ‘anak jantan’ kerana itu memang kubunya. Letak siapa pun di situ melawan Anwar, pasti kalah. Semua itu muslihat Datuk Seri Anwar, membuat negara hampir kucar-kacir. BN yang nyawa-nyawa ikan pun masa itu asyik bertelagah menyalahkan sama sendiri.

Muslihat terbesar Datuk Seri Anwar sekarang adalah perihal hendak menukar kerajaan atau mengambil alih pentadbiran negara. Bermula sebaik selepas PRU12, setiap hari beliau memukul gendang yang serupa, tukar kerajaan. Tarikh telah ditetapkan iaitu 16 September. Ahli Parlimen BN yang hendak melompat parti pun katanya telah siap sedia menanti tarikh tersebut.

Negara hampir huru-hara juga. Kerajaan yang ada, BN jadi tenggelam punca, tiba-tiba buat rombongan menghantar Wakil-wakil Rakyatnya ke China untuk satu Lawatan Sambil Belajar. Dan Datuk Seri Anwar pula menghantar wakilnya ke China juga dengan satu muslihat yang lain pula iaitu supaya orang nampak beliau bersugguh-sungguh. Ketika itu nampak Datuk Seri Abdullah pun terikut-ikut dengan rentak Ketua Pembangkang itu. Penat beliau kita tengok setiap kali berucap.

Dan sekarang tarikh tersebut ditukar pula ke bulan Disember. Ada muslihat lagikah kali ini?

Apa pula muslihat Anwar yang mahu sangat menjadi Perdana Menteri? Adakah supaya kes beliau boleh ditutup begitu sahaja jika telah menjadi Perdana Menteri? Apa akan terjadi kepada Mohamad Saiful Bukhari?

MUSLIHAT (1)

Muslihat pertama yang kita pernah dengar semasa belajar di sekolah dahulu adalah kisah Belanda minta tanah daripada Kerajaan Melaka sebelum kedatangan Portugis. Kisah tersebut adalah muslihat pertama orang Eropah menipu orang Melayu. Sekumpulan orang Belanda mengadap Sultan Melaka pada masa itu meminta sebidang tanah hanya sebesar kulit kambing yang mereka bawa.

Melihat hanya kecil sahaja kulit kambing itu, tanpa berfikir panjang baginda terus setuju kerana tanah sebesar kulit kambing bukanlah luas mana pun. Orang lain yang melihat hanya ketawa sahaja kerana apa orang-orang Belanda ini hendak buat dengan tanah sebesar kulit kambing sahaja.

Esoknya baru orang Melaka tahu luas mana tanah sebesar kulit kambing. Si Belanda ini telah memotong kulit kambing itu menjadi tali yang cukup panjang dan tali itu dibuat pengukur tanah yang mereka minta. Akhirnya mereka berjaya mendapat beberapa ekar tanah di Melaka pada waktu itu.

Itulah muslihat terbesar yang pernah dilalui oleh orang-orang Melayu. Sehingga sekarang peristiwa itu terpahat sebagai satu peribahasa Melayu ‘Bagai Belanda Minta Tanah’.

Sebelum itu ada satu lagi cerita berkaitan dengan muslihat iaitu Siti Muslihat, seorang wanita cerdik yang penuh muslihat bagi menyelamatkan suaminya. Watak ini dilakonkan oleh Saadiah Ahmad Daud. Filem Melayu ini semua orang tahu. Walaupun sudah bertahun-tahun dikeluarkan, masih menjadi tontonan ramai berbagai generasi.

Apa pula muslihat Tun Mahathir semasa mengumumkan hajat mahu bersara semasa Perhimpunan UMNO dulu sehinggakan semua hadirin terperanjat? Datuk Seri Rafidah terisak-isak menangis bertanya ‘Why! Why!’ pada masa itu. Datuk Seri Abdullah bangun menuju ke arah Tun bertanya soalan yang sama. Kemudian Tun sendiri terisak-isak.

Peristiwa hampir maghrib semasa penutup Persidangan Perwakilan tahun tersebut menjadi sejarah negara yang sukar dilupakan. Selepas itu semua orang berkerumun dan liputan terhenti. Adakah muslihat Tun hanya untuk ‘test market’? Esoknya diumumkan Tun tak jadi berundur hari itu tetapi pada Oktober 2003 selepas Persidangan OIC.

Apakah muslihat Datuk Seri Abdullah membatalkan projek Jambatan Bengkok yang menghubungkan Johor dengan Singapura? Projek telah dimulakan dan kerajaan terpaksa membayar pampasan jutaan ringgit kepada para kotraktor yang terlibat. Alasan bantahan Singapura dilihat tidak relevan oleh beberapa pihak termasuk Tun Mahathir sendiri kerana kita berhak membina jambatan di sebelah ‘kita’. Mungkinkah kerana projek itu projek Tun Mahathir maka ia harus dibatalkan?

Selepas itu apa pula muslihat Datuk Seri Abdullah melancarkan koridor-koridor pembangunan di merata tempat yang kos pelancarannya menelan belanja jutaan ringgit? Apa salahnya dibuat sekali sahaja pelancaran untuk kesemua koridor yang dicadangkan. Belanja pun jimat.

Kita lihat pula apa muslihat Datuk seri Abdullah menangguhkan Pemilihan Jawatan dalam UMNO dari bulan Disember ke bulan Mac tahun berikutnya. Berbagai andaian dibuat orang. Mungkin hendak menurut jejak Tun Mahathir mengumumkan penagguhan bersara dan peralihan kuasa.

Akibat penangguhan itu, negara sudah tidak menentu. Apa tidaknya, para pemimpin tak buat kerja lain selain melobi untuk dicalonkan bagi melepasi kouta pencalonan. Hari-hari kita dengar di sana sini ada-ada saja yang menawarkan diri untuk berbagai jawatan dalam parti. RTM dan saluran-saluran TV Media Prima membuat liputan dengan stastiknya sekali kedudukan calon-calon yang menawarkan diri ini. Ini baru menawarkan diri untuk pencalonan. Yang mana melepasi kouta, sudah tersenyum lebar. Yang belum, masih dengan proses melobi. Agenda pembangunan negara dan sumber negara seolah-olah terhenti sebentar.

Nanti masa berkempen pula satu hal lagi. Agaknya Datuk Seri Abdulah mempunyai muslihat untuk melihat sejauh mana kesetiaan pemimpin-pemimpin ini kepada beliau. Adakah mereka akan mendengar nasihat beliau supaya bertanding secara berhemah tanpa politik wang dan mengkritik peribadi calon yang lain?

Datuk Seri Abdulah yang mengumumkan penurunan harga minyak hari ini tentu ada muslihat di sebaliknya. Kebiasaannya Datuk Shahrir Samad, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang umumkan sebarang penurunan dan kenaikan harga barang. Kali ini Perdana Menteri sendiri berbuat demikian. Tentu ada muslihatnya.

Atau ini muslihat Datuk Shahrir supaya orang mempertikai Pak Lah, tidak dirinya kerana penurunan kali ini terlalu sedikit berbanding harga minyak di pasaran dunia. Kalau dilihat betul-betul harga minyak dunia sebelum harga petrol dan disel di Malaysia dinaikkan 78 sen baru-baru ini, jauh lebih tinggi daripada harga setong pada hari ini. Mungkin betul ini muslihat Datuk Shahrir.

Bagaimana pula dengan muslihat Datuk Seri Anwar Ibrahim? Beliau mempunyai lagi banyak muslihat. Nanti kita lihat dalam Muslihat Siri 2.

Monday, October 13, 2008

MALANG TAK BERBAU



Hari ini ada lagi manusia yang tidak tahu bersyukur. Akibatnya dia terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu akibat kecederaan di tangan dan muka akibat percikan api semasa cuba memotong kabel elektrik di Kampung Saujana, Setiu. Memang tak tahu bersyukur. Bekalan elektrik disediakan memberi cukup banyak kemudahan.

Sekarang kawasan tersebut terpaksa bergelap dan TNB kerugian RM30,000 kerana membaiki kerosakan yang ditimbulkan oleh orang yang tak tahu bersyukur ini. Kerugian orang kampung kita tak tahu lagi akibat dari terputusnya bekalan elektrik itu. Industri yang ada berdekatan turut terjejas.

Hanya kerana sedikit sahaja boleh menjejaskan banyak pihak yang lain yang tidak bersalah. Rasanya patut sangat lelaki itu menerima musibah. Tetapi harus diingat bahawa ini bukanlah kes yang pertama. Tidak berapa lama dahulu Negeri Sabah terpaksa bergelap selama beberapa hari akibat menara pencawang TNB tumbang hasil daripada kegiatan mencuri besi.

Dewasa ini kes kecurian kabel TNB dan kabel telefon sudah menjadi perkara biasa. Seperti main-main sahaja. Hari ini dibaiki atau disambung semula, selang sehari dua, berjuntaian pula kabel di potong orang . Kadang-kadang hanya tinggal tiangnya sahaja. Masyarakat pun sudah jemu hendak melapor kepada Telekom Malaysia dan pihak Telekom juga sudah tidak dapat memikirkan cara menghindarinya lagi. Kerugian sudah mencecah jutaan ringgit.

Bulan lepas, di kawasan saya tinggal kabel utama TM dipotong pencuri. Dua hari dua malam para pekerja mereka berkemah di situ untuk membaikpulih ribuan talian yang terputus termauk talian hospital, Balai Polis dan pejabat-pejabat kerajaan.

Sekarang pun kalau dilihat di kawasan saya tinggal, kabel TM berjuntaian di merata tiang kerana telah dipotong orang. Padahal pihak TM baru sahaja menyambung taliannya.

Begitu kronik penyakit masyarakat ini. Semasa berbual dengan pekerja-pekerja TM itu, seorang pegawai mereka (Pegawailah kot sebab dia yang dok beri arahan-arahan) yang kecewa agaknya secara spontan menyatakan kenapa masyarakat heboh sangat bila kabel dicuri, orang lain hilang emas berjuta pun tak bising.

Bagi saya orang mencuri emas hanya menyusahkan seorang sahaja, tapi orang yang mencuri kabel ini menyusahkan ribuan orang. Saya malas hendak berhujah dengan beliau kerana saya berpendapat bahawa kalau beliau cerdik tentu sudah bergelar usahawan telekomunikasi.

Orang mencuri kabel ini sebab ada orang pula yang hendak membeli. Kalau tidak ada orang beli, apa pencuri itu nak buat dengan dawai-dawai kabel itu? Jadi pucanya adalah pembeli-pembeli yang diberi lesen oleh pihak kerajaan juga. Kelulusan lesen membeli besi terpakai atau barang lusuh ini dibuat tanpa had kononnya untuk menjaga kepentingan mereka. Hasilnya Bengkel Barang Lusuh tumbuh macam cendawan lepas hujan.

Bengkel-bengkel inilah yang menjadi tempat tumpuan pencuri-pencuri kabel dan barang besi yang lain termasuk pintu pagar rumah, besi penutup longkang, periuk belanga, besi batu nisan di kubur dan semua bahan berunsur logam. Akibatnya ada orang yang hilang periuk yang sedang dijemur di hadapan rumah. Ada orang kehilanagan tong gas, ada orag kehilangan besi penutup longkang di hadapan rumah dan macam-macam lagi. Hinggakan kepala pili di masjid pun sanggup dicuri.

Pernah dulu saya cadangkan cara hendak mengatasinya. Batalkan lesen Bengkel Barang Lusuh. Kemudian barang-barang yang hendak dibuang iaitu barang lusuh ini dihantar ke sebuah pulau. Tubuhkan badan-badan atau firma penghantaran ini dengan mengenakan bayaran. Sesiapa yang hendak melupuskan barang, mesti membayar kepada firma tersebut.

Sifat manusia, apabila dikenakan bayaran untukmelupuskan barang, saya percaya tiada barang yang hendak dilupuskan. Barulah barang-barang tadi tidak dicuri. Tentulah lucu sedikit cadangan ini. Tapi ada negara yang berbuat demikian. Di Amerika misalnya, oleh sebab negara mereka luas, disediakan satu tempat yang jauh dari penempatan penduduk. Firma barang lusuh ini mengenakan bayaran kepada orang-orang yang menghantar barang untuk dilupuskan di situ.

Kita boleh praktikkan cara ini di negara kita. Tapi kerana negara kita kecil, boleh dicuba di mana-mana pulau yang banyak di perairan negara.

Saya bersimpati dengan kemalangan yang menimpa pemuda tadi. Dia dan keluarganya terpaksa menanggung derita untuk beberapa lama. Tetapi jauh di sudut hati saya, saya berkata, ‘Padan muka!”